Pemain pertahanan Chelsea, Gary Cahill berkata beliau akan mahu meninggalkan kelab London itu pada jendela perpindahan Januari akan datang jika terus tidak mendapat peluang untuk beraksi di dalam kesebelasan utama The Blues.
Pemain pertahanan itu akan berusia 31 tahun pada Disember hadapan, dan kontrak beliau bersama Chelsea akan berakhir pada penghujung musim ini.
Sehingga kini, Cahill belum pernah diturunkan oleh Maurizio Sarri dalam mana-mana pertandingan kempen musim ini.
Cahill merupakan kapten Chelsea ketika era Antonio Conte, dan baru-baru ini turut mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan England.
“Saya perlu mengawal sendiri masa depan saya,” ujar Cahill.
Bekas pemain Aston Villa dan Bolton itu menyertai Chelsea pada Januari 2012, dan memenangi beberapa kejuaraan utama bersama kelab London itu.
Antaranya ialah kejuaraan UEFA Champions League pada 2012, dan Cahill juga adalah kapten pasukan ketika Chelsea menjulang kejuaraan liga pada musim 2016/17 dan Piala FA pada musim berikutnya.
Pada awal pagi Jumaat lalu Sarri melakukan lima pertukaran ketika Chelsea mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas PAOK Salonika dalam pertandingan UEFA Europa League.
Antonio Rudiger dan Andreas Christensen menjadi pilihan Sarri di bahagian tengah pertahanan, manakala Cahill sekadar dinamakan sebagai pemain simpanan.
“Pada saya musin ini akan menjadi sangat sukar. Saya sedar bola sepak tidak akan menunggu sesiapa. Akan tiba masanya anda harus melakukan keputusan untuk terus melangkah ke hadapan,” tambah Cahill lagi.