Harimau Malaya dilihat mahu memberi fokus sepenuhnya dalam persiapan dilakukan demi mencipta keputusan positif pada aksi sulung mereka di saingan AFF 2024 menentang Kemboja.
Atas kertas, kelebihan dilihat terarah kepada Malaysia jika dibandingkan oleh Kemboja daripada segi reputasi mereka di pentas antarabangsa.
Namun, cabaran Kemboja kini juga tidak boleh dipandang ringan kerana mereka telah mencipta beberapa perubahan dalam kalangan pemain serta kejurulatihan.
Beberapa pemain naturalisasi yang didaftarkan Kemboja dilihat mampu untuk sedikit sebanyak memberi kesukaran kepada Malaysia jika tidak diberi fokus.
Setakat ini, empat pemain naturalisasi Kemboja telah didaftarkan untuk aksi berdepan Malaysia selain beberapa tonggak warisan yang berkualiti untuk kejohanan ini.
Abdel Kader Coulibaly antara yang dianggap berbahaya untuk diberi perhatian kem kebangsaan, selepas pemain naturalisasi dari Ivory Coast itu memiliki ketajaman dan lincah di hadapan gawang gol.
Pengalaman beliau untuk beraksi bersama skuad kebangsaan B-20 Ivory Coast sebelum itu pastinya digunakan sebaik mungkin untuk cuba memberi tekanan kepada Malaysia.
Selain itu, Kemboja turut diperkuatkan dengan dua pemain naturalisasi dari Jepun iaitu Takaki Ose (pertahanan) serta Yudai Ogawa (tengah) yang memiliki keupayaan memberi keseimbangan buat negara itu.
Yudai dianggap sebagai pemain memiliki kualiti cukup tinggi untuk membantu serangan Kemboja apabila beliau sudah mencetak gol serta satu bantuan jaringan bersama pasukan kebangsaan tersebut.
Akhir sekali, terarah kepada pemain naturalisasi baharu iaitu Andres Nieto yang bermain di posisi sayap serta telah mempamerkan keupayaan bersama Phnom Penh dalam saingan domestik.
10 perlawanan, 10 gol, serta tiga bantuan jaringan direkodkan pemain tersebut dan sudah tentu Nieto bakal menjadi percaturan penting pasukan kebangsaan tersebut.
Selebihnya, pemain warisan seperti Thierry Chanta Bin serta Ashnarvy Mustapha bakal melengkapkan lagi pasukan tersebut untuk memberi ujian getir kepada Harimau Malaya.
Apapun, kami mendoakan supaya Harimau Malaya mampu mengaum pada aksi sulung serta melangkah lebih jauh untuk membuktikan Malaysia sebagai antara kuasa besar Asia Tenggara.