“Cabaran Hanya Dari Segi Kewangan” – Hamidin Anggap Permintaan Kim Pan-gon Tidak Sukar Dipenuhi

Saat Malaysia berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2023, pastinya tumpuan terarah kepada pengendali skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon apabila jurulatih daripada Korea Selatan itu berjaya membawa nama baik negara menerusi sentuhan magisnya.

Justeru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu lebih bersifat terbuka untuk memenuhi sebarang kehendak pengendali tersebut dalam memantapkan kembali bola sepak Malaysia.

Menurut Datuk Hamidin Mohd Amin selaku Presiden FAM, beliau menyatakan badan rasmi bola sepak negara ini bakal memenuhi segala permintaan Kim sekiranya untuk terus memberi faedah dalam skuad kebangsaan.

Jelas beliau, setakat ini FAM berpuas hati dengan prestasi semasa yang ditunjukkan oleh pengendali tersebut kerana permintaan dibuat Kim berjaya memberi kesan positif kepada skuad Harimau Malaya.

“Apabila seseorang mahukan sesuatu, dia kena tunjukkan kerja dan mengapa (permintaan). Jadi saya berpuas hati dengan penjelasan dan justifikasi yang diberikan (Kim).

“Cabaran adalah dari segi kewangan dan perbelanjaan tetapi saya fikir permintaannya pun tidak sesukar mana kerana ia memang sepatutnya dibuat antaranya perkara seperti peralatan, tempoh masa dan sebagainya.

“Sama juga seperti sebelum ini cuma dia memanfaatkan sebaik mungkin. Kalau dia minta tetapi tidak dimanfaatkan pun, benda ini tak boleh sampai (kepada pemain),” kata Hamidin menerusi Berita Harian.

Sejak kemasukan Kim sebagai pengendali baharu Harimau Malaya, jelas skuad ini mengalami perubahan dari segi corak permainan serta kualiti teknikal setiap pemain menerusi siri-siri perlawanan persahabatan disertai mereka.

Kemuncaknya, Kim berjaya membawa skuad kebangsaan untuk melangkah ke Piala Asia setelah kali terakhir Malaysia layak secara merit pada tahun 1980 di Kuwait.

Tiga aksi peringkat kumpulan sebelum itu nyata mendapat reaksi positif para penyokong apabila corak permainan ditampilkan skuad negara amat berbeza dan berjaya menguasai perlawanan biarpun berdepan lawan jauh lebih hebat dari segi ranking.

Selain itu, Hamidin juga menganggap corak latihan yang diterapkan oleh Kim untuk para pemain negara tidak sekeras seperti yang disangka ramai.

“Saya tidak perlu dedahkan tetapi cukup saya bagi contoh di mana apabila saya tanya pemain mengenai perbezaan yang dilakukan Kim jika dibandingkan dengan cara yang digunakan jurulatih asing, mereka kata cepat, tepat dan mudah.

“Saya ingat rumit tetapi apa yang saya nampak adalah untuk berjaya, 50% kejayaan kena datang daripada dalam padang dan 50% lagi di luar padang,” katanya.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN