Menurut orang-orang lama, ini merupakan antara detik paling hampir untuk Malaysia melangkah ke Piala Dunia. Begitupun, skuad Harimau Malaya gagal merealisasikannya selepas tumbang kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan 3A.
Jika berjaya mengikat Korea Selatan, sudah tentu Malaysia yang akan melangkah ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 1986. Skuad negara merupakan pendahulu kumpulan sebelum pertembungan bersejarah antara kedua-dua negara itu.
Pada tahun itu, kelayakan Piala Dunia di zon Asia merangkumi 3 pusingan dengan hanya pusingan pertama menggunakan format kumpulan dan dua pusingan lagi adalah kalah mati. Jadi, Malaysia hanya berbaki 3 perlawanan sekiranya lepas.
Korea Selatan awalnya tumbang 0-1 ketika beraksi di Stadium Merdeka hasil jaringan penyerang sensasi, Dollah Salleh. Sedar mereka sukar untuk melepasi saingan skuad Harimau Malaya, media Korea Selatan dikatakan mula melontarkan provokasi.
Perlawanan ini ibarat penentuan kelayakan ke Sukan Olimpik 1980 di mana, Malaysia sekali lagi dijodohkan bersama Korea Selatan. Pada kelayakan kejohanan tersebut, jaringan Bakri Ibni dan James Wong sudah cukup untuk memusnahkan mereka.
Terbang tanpa Lim Teong Kim & Rashid Hassan
Skuad negara terpaksa melalui perlawanan terakhir itu tanpa dua pemain utama iaitu pemain tengah, Lim Teong Kim dan penjaga gol, Rashid Hassan. Pengendali ketika itu, Mohammad Bakar telah memberi peluang dan membawa pemain daripada skuad belia, A. Anbalagan dan penjaga gol muda daripada Kedah, Azmi Mahmud.
Skuad ini merupakan kesinambungan skuad yang beraksi di pusingan kelayakan Sukan Olimpik 1984 yang telah berjaya melangkah sehingga ke pusingan ketiga sebelum disingkirkan oleh Kuwait. Majorinya dikekalkan untuk kelayakan Piala Dunia ini.
Selain Lim Teong Kim dan Rashid Hassan, antara wajah-wajah utama skuad ini adalah kapten, Ahmad Yusoff, Wong Hung Nung, Zainal Abidin Hassan dan Dollah Salleh.
Ketiadaan Rashid Hassan meletakkan penjaga gol veteran A. Arumugam sebagai pilihan kedua di belakang Azmi Mahmud apabila Ahmad Sobri ketika itu menjalani penggantungan kerana mengkritik Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Ong Yu Tiang gagal sebagai benteng akhir
Namun, apabila Ong Yu Tiang diletakkan sebagai pemain di benteng akhir, ia telah menimbulkan perdebatan hangat. Dan ia ada kebenarannya apabila penjaga gol Pahang itu menjadi punca kepada Malaysia ketinggalan 0-2 di babak pertama.
Walaupun pernah dilabel sebagai ‘tiang’ gol ketiga Pahang kerana kecemerlangannya bersama skuad tersebut, namun beliau bukanlah pilihan utama skuad negara dek kerana dibayangi kehebatan A. Arumugam dan kemudian Ahmad Sobri.
Ong Yu Tiang menghadiahkan penalti kepada lawan apabila dikatakan secara gopoh telah menjatuhkan Park Chang-sun seawal minit ke-12 untuk pemain tersebut meledak gol pembukaan mereka di Stadium Olimpik Seoul di hadapan lebih 45 ribu penyokong.
Beliau sekali lagi melepaskan gol mudah buat tuan rumah pada minit ke-19 apabila gagal menampan kemas rembatan pemain Korea Selatan, Cho Min-kook. Ong Yu Tiang gagal menjadi ‘tiang’ ketiga buat skuad Harimau Malaya pada malam tersebut.
Pemilihan pengadil meragukan
Pemilihan pengadil dikatakan turut menyumbang kepada kekalahan mengejut pada malam tersebut. Malaysia menguasai perlawanan walaupun ketinggalan dua gol. Paling menyedihkan, dua gol Malaysia dibatalkan pada malam tersebut.
Mokhtar Dahari yang gagal menyerlah di babak pertama telah digantikan dengan darah muda, Dollah Salleh dan beliau berjaya meledak gol namun dibatalkan oleh pengadil dari Jepun, Shizuo Takada kerana dikatakan terlebih dahulu mengasari pertahanan.
Selepas itu, jaringan Azizul Abu Hanifah pula dibatalkannya walaupun dikatakan jelas sudah melepasi garisan gol. Lagenda Perak itu turut dikatakan membawa kain hitam yang diletakkan di dalam seluarnya sebagai tangkal oleh media Korea Selatan.
Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) juga dilihat langsung tidak mempersoalkan pemilihan Shizuo Takada sebagai pengadil dan skuad negara telah dilayan seperti pengganas sejak tiba di lapangan terbang sehinggalah ketika beraksi di padang.
Ia dikatakan satu perlawanan yang panas sejak sebelum skuad kendalian Mohammad Bakar berangkat ke sana. Hak untuk berlatih dan menyesuaikan diri dengan stadium juga dinafikan. Malaysia hanya berlatih di padang awam di pinggir bandar Seoul.
Penutup
Itu adalah antara catatan menarik sejarah skuad negara dalam pusingan kelayakan Piala Dunia yang dikatakan paling hampir untuk layak. Skuad 1986 itu adalah antara yang terbaik dimiliki Malaysia namun, segalanya berakhir dengan tragedi.
Frasa menarik digunakan pengulas ketika itu apabila Dato’ Rahim Razali berkata “bye-bye Mexico”, merujuk kepada peluang Malaysia untuk ke Piala Dunia sudah tertutup.
Dan, sebaik tiba di tanah air daripada Korea Selatan, penyerang lagenda negara, SuperMokh telah mengumumkan persaraannya. Itu adalah perlawanan terakhirnya bersama skuad kebangsaan dan satu hadiah paling pahit sempena persaraannya.
Skuad Piala Dunia 1986 ini akhirnya berhasil menjuarai kejohanan Pestabola Merdeka 1986 menewaskan Czechoslovakia XI dengan jaringan 3-0 di perlawanan akhir.
KREDIT FEATURED IMAGE: BAZOOKAPENAKA