Pemain Barcelona, Sergio Busquets memuji aksi cemerlang Lionel Messi dalam membantu pasukan meraih kemenangan 1-0 pada aksi suku akhir pertama bertemu Manchester United di Old Trafford.
Kedua-dua pasukan turun dengan barisan terbaik dalam merangka strategi untuk memperolehi kemenangan dalam pertemuan pertama.
Luke Shaw memberikan Barcelona mendahului perlawanan selepas tertampan tandukan Luis Suarez ke gawang sendiri, 12 minit selepas wisel sepak mula.
Jaringan sendiri Shaw telah memberikan kelebihan Barcelona menjelang perlawanan timbal balik yang akan diadakan di Camp Nou, 17 April nanti.
Messi kekal tenang
Busquets tidak dapat menyembunyikan rasa teruja melihat aksi Messi ketika berdepan Manchester United dalam keadaan pemain itu mengalami kecederaan.
Menurutnya, Messi dapat mengawal pemainan dengan baik dan sentiasa berada dalam situasi tenang meskipun terdapat kesan darah di bahagian muka pemain Argentina itu.
Dalam perlawanan tersebut, Messi mengalami kecederaan akibat disiku oleh Chris Smalling sehingga menyebabkan mata dan hidungnya berdarah.
“Saya fikir Messi mengalami patah hidung,” kata Busquets dipetik menerusi Manchester Evening News.
“Ia satu kesan besar kepadanya. Terdapat banyak perdarahan dan saya tidak pasti sama ada ianya patah atau tidak.
“Terdapat juga kesan luka pada kelopak matanya. Dia kelihatan seperti tidak selesa dan kecederaan itu mengganggunya ketika bermain, tetapi Leo [Messi] dapat bermain mengatasinya dengan cara terbaik.”
Jalani pemeriksaan
Menurut kenyataan dari pengurus pasukan Ernesto Valverde, pasukan perubatan Barcelona akan menjalani pemeriksaan terhadap Messi selepas doktor mendapati kesan luka kelihatan semakin lebam dengan ketara.
“Messi mengadu dia tidak selesa selepas kekasaran itu,” kata Valverde.
“Kami perlu melakukan pemeriksaan terhadapnya esok untuk melihat bagaimana keadaannya. Dia kuat, tetapi dia memperoleh lebam yang jelas.”