Pertahanan baharu Pahang, Bunyamin Umar dan Muslim Ahmad mensasarkan untuk membantu pasukannya merangkul satu piala dalam saingan Liga Malaysia musim 2018.
Bercakap kepada Berita Harian, Bunyamin yang juga bekas tonggak Selangor ini menyedari dia perlu berusaha mempertingkatkan prestasi untuk memikat pengendali pasukan itu, Dollah Salleh agar dapat berada dalam kesebelasan utama.
“Sejak dua minggu bersama rakan sepasukan, saya semakin bersemangat terutama dalam usaha mempertingkatkan lagi kualiti permainan.
“Sebenarnya, apabila ditawarkan bersama Pahang, saya berasa teruja dan terus bercita-cita membantu skuad itu menjulang sekurang-kurangnya satu piala.
“Dengan dibarisi pemain berpengalaman dan diperkuatkan dengan tenaga import, skuad Tok gajah mampu mengucup kejuaraan,” katanya.
Bunyamin berkata, pengalaman yang dimiliki akan digunakan dengan sebaik mungkin, khususnya di bahagian pertahanan.
Bunyamin memulakan kerjaya sebagai pemain Kedah pada 2005 sehingga 2007, sebelum ke UPB-My Team (2007-2009) dan Selangor (2009-2017).
Sementara itu, Muslim Ahmad mahu memberi persembahan terbaik bagi memastikan namanya tidak tercicir daripada senarai kesebelasan utama pasukan pada saingan Liga Super musim depan.
“Kehadiran beberapa muka baharu dalam skuad Tok Gajah akan menjadi senjata kekuatan pasukan, bagaimanapun pada masa sama mereka adalah pesaing kuat saya untuk berada di tengah padang.
“Sebagai pemain profesional, perkara itu dianggap biasa dan tidak terlalu membebankan, apa yang utama ialah saya perlu berusaha memberi persembahan bagi memikat hati jurulatih (Dollah Salleh) setiap kali sesi latihan,” kata Muslim.
Selepas memasuki musim kedua bersama Tok Gajah, Muslim mengakui dia sudah serasi dengan pemain lama dalam pasukan dan kelebihan itu akan dapat membentuk persefahaman lebih baik dan berkesan terutama dengan jentera tengah.
“Saya perlu berusaha sedaya upaya membalas kepercayaan jurulatih yang mengekalkan saya musim 2018.
“Dengan kerjasama semua pemain, saya yakin skuad Tok Gajah musim depan lebih berkualiti dan berkesan dalam usaha memburu kejayaan selepas gagal menyerlah musim ini,” kata pemain kelahiran Kuala Terengganu itu.
Muslim yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, kehadiran Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha), Safuwan Baharudin dan Chan Vathanaka mampu meletak pasukan Tok Gajah sebagai pencabar utama musim depan.
“Kelibat Matheus Alves, Mohamadou Sumareh, Chan (Vathanaka) dan Mat Yo pastinya akan dapat memberikan hasil memuaskan kepada pasukan seterusnya kegembiraan serta kepuasan kepada peminat setia Pahang,” katanya.