Tanpa penyokong, siapalah bola sepak.
Dan situasi itu jelas sekali membuktikan frasa itu adalah cukup benar.
Dalam waktu yang cukup sukar melanda dunia, bersambungnya saingan Bundesliga adalah satu nikmat buat peminat bola sepak.
Walaupun ianya diadakan semula seperti biasa, tetapi tanpa kehadiran penyokong jelas mengurangkan seri dalam setiap perlawanan yang diadakan.
Dan ianya jelas terasa buat pengurus-pengurus pasukan Bundesliga. Bagi mereka, bermain di laman sendiri tidak lagi memberikan apa-apa kelebihan kepada mereka.
Bagi pengurus Schalke 04, David Wagner, faktor penyokong memainkan peranan penting dalam sesebuah perlawanan.
“Tanpa tenaga dari penyokong kami di laman sendiri dan juga ketika di tempat lawan, saya fikir kami kena biasakan diri berhadapan situasi ini kerana penyokong kami adalah yang terbaik di Jerman apabila ke gelanggang lawan.”
Apa yang dikatakan oleh Wagner itu turut disokong oleh ketua jurulatih Eintracht Frankfurt iaitu Adi Hutter.
“Kita kena biasakan diri [bermain di stadium tanpa penyokong]. Saya tak fikir ada orang rasa ianya seronok beraksi beraksi di stadium yang tiada orang.”
“Tapi itulah dia, kami cukup gembira untuk dapat kebenaran untuk bermain.”
Minggu lalu menyaksikan hanya satu sahaja pasukan yang bermain di laman sendiri yang memenangi perlawanan iaitu Borussia Dortmund yang membelasah Schalke 04 dengan keputusan 4-0.
Sementara Fortuna Dusseldorf, RB Leipzig dan FC Koln menjadi pasukan-pasukan tuan rumah yang mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan masing-masing.
https://twitter.com/Bundesliga_EN/status/1262488128381739010
Pasukan seperti Borussia Mochengladbach telah mengambil inisiatif dengan mencetak muka-muka penyokong mereka dalam bentuk kad keras dan kemudiannya diletakkan di tempat duduk penonton di stadium untuk menjadikan ianya seperti mereka berada di sana.
Pengurus Bayer Leverkusen, Peter Bosz mengatakan beliau tertanya-tanya macam mana rupanya kad keras itu semua.
“Saya tertanya mengenai perkara ini. Mungkin ianya lebih baik bermain untuk mereka berbanding bermain untuk kerusi kosong di stadium.”
“Saya tertanya bagaimana rupanya dan bagaimana ianya akan menambah kepada suasana stadium.”