Bayern Munich tidak perlu menunggu sehingga penghujung musim untuk mengesahkan kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan berturut-turut selepas menumpaskan Werder Bremen 1-0 hasil gol tunggal Robert Lewandowski pada awal pagi tadi.
Penjaring terbanyak Bundesliga itu mencetak gol ke-31 musim ini dua minit sebelum tamat babak pertama dengan menyudahkan hantaran sungkit Jerome Boateng selepas melepasi merangkap ofsaid dan menewaskan penjaga gol tuan rumah, Jiri Pavlenka.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan walaupun Bayern terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam 10 minit terakhir setelah Alphonso Davies dilayang kad merah selepas mengutip kad kuning kedua.
🏆 2020
— FC Bayern Munich (@FCBayernEN) June 16, 2020
🏆 2019
🏆 2018
🏆 2017
🏆 2016
🏆 2015
🏆 2014
🏆 2013
𝑇𝑖𝑚𝑒 𝑡𝑜 𝑐𝑒𝑙𝑒𝑏𝑟𝒆𝒊𝒈𝒉𝒕 🎉#MEI8TER pic.twitter.com/boERc9HOia
Selepas berjaya mengutip tiga mata penuh di Stadium Wohnivest-Weser, skuad The Bavarians itu mengungguli takhta liga dengan mengumpul 76 mata, 10 mata mengatasi pesaing terdekat, Borussia Dortmund yang cuma berbaki tiga perlawanan.
Prestasi tidak menentu Bayern semasa di bawah kendalian Niko Kovac pada awal musim ini berubah selepas bekas penolong jurulatih Jerman, Hansi Flick mengambil alih pasukan dan berjaya merekodkan 11 kemenangan berturut-turut selepas cuti rehat musim sejuk.
Kemenangan musim ini merupakan kejuaraan liga yang ke-30 secara keseluruhan dan mereka kini juga dalam landasan terbaik untuk menjuarai DFB-Pokal selepas menempah tempat di perlawanan akhir pada 4 Julai ini berdepan Bayer Leverkusen.
“Kami telah bermain dengan corak permainan yang cukup sensasi dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Kamu tentu boleh rasakan keseronokan dalam permainan kami dan lihat semangat berpasukan yang cukup kuat.
🎵CHAMPIOOOOOOONES, CHAMPIOOOOOOONES!🎵🏆🔴⚪️#MEI8TER #MiaSanMia pic.twitter.com/gZ5KnwRhFL
— FC Bayern Munich (@FCBayernEN) June 16, 2020
“Sekaran ini kami telah berjaya meraih kejayaan pertama untuk musim ini dan berusaha untuk mencapai sasaran yang lebih besar,” ujar Flick selepas pasukannya meraikan kejuaraan Bundesliga di stadium yang kosong ekoran pandemik.
“Kami juga ada Piala (DFB-Pokal) untuk dimenangi dan sudah tentu Liga Juara-Juara Eropah juga menjadi sasaran, tetapi kami masih perlu menghadapi Chelsea [perlawanan timbal balik] untuk mara ke pusingan seterusnya.”
Nasib berbeza buat Werder Bremen yang tewas dan masih bergelut di tangga kedua terbawah liga. Pasukan itu terdesak untuk terus kekal di saingan tertinggi bagi mengelakkan tersingkir buat kali kedua sejak 1980.
Kredit Foto: Bayern Munich