Berbaki sembilan perlawanan, Bundesliga nampaknya akan meneruskan semula baki saingan liga bermula pada bulan hadapan dengan jangkaan semuanya akan berakhir pada bulan Jun depan. Namun, ia akan berlangsung tanpa kehadiran penyokong.
Disaat perlawanan bola sepak di seluruh dunia terhenti akibat pandemik COVID-19 dan berlaku perdebatan mengenai bayaran gaji serta sebagainya, Bundesliga pula seakan-akan sedang melawan arus dengan akan kembali melangsungkan liga.
CEO liga tersebut, Christian Seifert memaklumkan kepada New York Times yang semua perlawanan di dua liga utama di Jerman bakal kembali pada bulan Mei, dengan semua perlawanan di 36 buah stadium akan dilangsung tanpa penyokong.
Pada minggu ini dapat dilihat semua kelab-kelab di dua liga utama – Bundesliga dan 2.Bundesliga sudah turun ke padang latihan dengan mematuhi protokol kesihatan. Ia bakal menawarkan aksi bola sepak yang sangat penyokong dahagakan saat ini.
Antara kelab yang dilihat dan dirakam sudah giat menjalani latihan seperti biasa adalah Bayern Munich dan Borussia Dortmund bagi mendapatkan semula momentum pasukan yang terhenti sepanjang liga tertangguh sebelum ini.
Jerman pada ketika ini merekodkan lebih 107,000 kes positif COVID-19, namun memiliki kadar pemulihan tinggi dan mungkin atas faktor itu, badan berwajib yang mengendalikan liga merasakan yang saingan liga boleh kembali berlangsung.
Namun, disebalik keyakinan untuk mengembalikan saingan liga, mereka akan kehilangan satu kekuatan dan wajah liga mereka selama ini iaitu penyokong. Bundesliga merupakan liga yang memiliki purata kehadiran tertinggi di Eropah.
Menurut Christian Seifert, stadium yang selalunya akan dilimpahi para penyokong akan kosong umpama perlawanan ‘berhantu’. Bola sepak akan hanya ada di kaca televisyen dan ianya akan kekal sebegitu sekurang-kurangnya sepanjang 2020.
“Kami adalah sebahagian daripada budaya di negara ini. Rakyat agak lama untuk kembali mendapat kehidupan normal mereka, oleh itu Bundesliga harus kembali,” jelas Christian Seifert sambil berkata yang mereka mahu mainkan peranan.
Namun, ia tidak bermaksud jika liga kembali, ia akan menambah beban kepada petugas kesihatan kerana Jerman adalah antara negara Eropah yang memiliki kemudahan kesihatan yang terbaik dan mereka memiliki kaedah untuk liga berjalan.
Christian Seifert menjangkakan lebih kurang 240 orang akan terlibat dalam satu-satu perlawanan termasuk para pemain, barisan kejurulatihan, petugas kesihatan, pengadil perlawanan dan juga staff produksi untuk membuat siaran langsung.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES