Semalam Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada mengeluarkan kenyataan mengenai padang baharu yang bakal ditaja oleh baginda untuk Stadium Nasional Bukit Jalil.
Apa yang ingin ditaja oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), adalah jenis rumput baharu yang sama digunakan setakat ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) iaitu jenis Zeon Zoysia yang dilihat lebih lasak dan mampu menghadapi banyak perlawanan atau acara berbanding jenis ‘cowgrass’.
Dalam laman rasmi Facebook Johor Southern Tiger (JST) itu, TMJ menyatakan hasrat ingin menaja padang baharu untuk kegunaan skuad kebangsaan di SNBJ. Nyata pemilik Johor Darul Takzim (JDT) itu tidak sekadar hanya bercakap kosong apabila tidak lama selepas itu cek untuk menukar padang baharu sudah pun diluluskan.
Inspection of the National Stadium will be conducted on 19 March 2022, before proceeding with final arrangements with the Malaysia Stadium Corporation. The turf company and maintenance crew of the Sultan Ibrahim Stadium pitch are ready to commence work.
[2/2]
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) March 10, 2022
“DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menandatangani cek untuk padang baharu Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Pemeriksaan di Stadium Nasional akan dilakukan pada 19 Mac 2022 sebelum meneruskan persiapan terakhir dengan Perbadanan Stadium Malaysia. Syarikat padang dan krew penyelenggaraan padang Stadium Sultan Ibrahim sudah bersedia untuk memulakan kerja,” lapor media JST di Facebook.
Seperti yang diketahui ramai, TMJ antara insan yang sangat lantang mengenai kualiti padang dalam negara. Baginda sendiri tidak segan untuk mengkritik perkara tersebut kerana padang yang baik mampu menghasilkan corak permainan lebih menarik.
Sebelum ini pun, segala kenyataan yang dikeluarkan TMJ tidak hanya seperti ‘cerita di kedai kopi’, sebaliknya baginda membuktikan sendiri dari segala percakapan tersebut kepada perbuatan.
Lihat sahaja hasil yang ada dalam pasukan milik TMJ iaitu JDT. Baginda berjaya menawarkan sesuatu yang sangat positif dalam masa beberapa tahun untuk menaikkan fasiliti kelab supaya para pemain mampu untuk berlatih dengan selesa terutama sekali mengenai struktur padang sehingga mendapat liputan yang meluas.
Untuk rekod, TMJ sendiri membenarkan skuad Harimau Malaya berlatih di pusat latihan Sri Gelam sebelum itu untuk kemudahan yang lebih baik agar pemain negara dapat berlatih lebih selesa dengan segala fasiliti yang lengkap.