Pemain pertahanan Sabah, Dominic Tan akan terus kekal bersama skuad Sabah pada musim hadapan bagi menghadapi musim yang lebih mencabar terutama dalam saingan Piala AFC.
Dominic yang mempamerkan aksi cemerlang pada musim ini di barisan pertahanan dan beliau antara individu terpenting dalam pasukan menyebabkan pihak pengurusan berminat untuk mengekalkan pemain ini.
Dominic ketika ini bersama skuad kebangsaan dalam pertandingan Piala AFF 2022 dan selepas mereka menentang Myanmar, beliau terus dibawa menaiki pesawat tersebut untuk urusan lanjutan kontrak bersama Sabah.
Namun apa yang mencuri perhatian adalah cara pihak pengurusan Sabah menandatangani pemain mereka itu lain dari yang lain dan setakat ini di Malaysia, hanya mereka sahaja yang melakukannya.
Apa yang menarik? Sudah pasti tempat yang diaturkan itu adalah di dalam kapal terbang sambil disaksikan oleh pengurus Sabah, Datuk Ong Kim Swee dan CEO Sabah, Marzuki Nasir.
Jika sebelum ini kita disajikan dengan pelbagai cara untuk memperkenalkan pemain baharu seperti perkenalan video pendek dan bergambar di atas kerusi serta pelbagai lagi mengikut kreativiti pasukan tersebut.
Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) antara pasukan yang mempunyai idea menarik ketika mengumumkan pemain baharu mereka.
JDT sering membawa pemain baharu mereka menaiki kereta Hummer dan itu sudah dikira antara yang cukup hebat.
Namun begitu, Sabah juga tidak mahu ketinggalan untuk menjadi pencetus menandatangani lain dari yang lain. Bukan di darat tapi segala urusan dilakukan di udara.
Berbalik kepada Dominic, beliau antara watak utama yang berjaya membawa Sabah menduduki tempat ketiga Liga Super dan mara sehingga ke separuh akhir saingan Piala Malasysia tahun ini.
Gaya permainan yang keras dan juga boleh menyerang serta mengikut taktikal yang diserapkan oleh Kim Swee membuatkan beliau berada dalam perancangan musim hadapan.