Pengurusan tertinggi Arsenal dilaporkan melihat Nuno Espirito Santo sebagai calon utama untuk menggantikan Unai Emery, menurut laporan Daily Mail UK.
Daily Mail mungkin bukan sumber paling berkredibiliti bagi berita-berita eksklusif tentang Arsenal – tidak seperti wartawan The Athletic, David Ornstein. Tetapi koresponden mereka di London, Sami Mokbel dan Steve Sammers merupakan antara wartawan pertama yang mendedahkan berita Jose Mourinho sebagai pengurus baru Tottenham Hotspur kepada umum.
Santo yang kini bertugas sebagai pengurus Wolves telah melakukan kerja yang baik sejak tiba di England pada 2017, mengemudi promosi Wolves ke Premier League dari Liga Championship sebelum membawa pasukannya beraksi di UEFA Europa League 2019/2020 dengan menamatkan cabaran Premier League musim 2018/2019 di tangga ketujuh.
Wolves kini berada di tangga ke-5 liga, 3 tangga di hadapan Arsenal.
Pengurusan tertinggi Arsenal yang diketuai oleh Pengarah Bola Sepaknya, Raul Sanllehi dilaporkan ketika ini sedang menilai prestasi Unai Emery mengikut perlawanan – bukannya mengikut musim. Sumber dalaman Arsenal pula memberitahu Goal.com UK baru-baru ini berita Emery bakal dipecat – cuma tidak diketahui masanya.
Jika Emery dipecat di tengah musim, besar kemungkinan Arsenal akan meletakkan penolong pengurusnya, Freddie Ljungberg atau pengurus skuad bawah-23, Steve Bould sebagai pengurus sementara.
Ljungberg yang baru memegang lesen kejurulatihan UEFA A tidak dibenarkan mengurus pasukan senior mengikut peraturan Premier League. Tetapi dibenarkan berbuat demikian atas kapasiti sementara dengan tempoh maksimum 3 bulan.
Situasi ini mungkin menambah komplikasi terhadap minat Arsenal untuk melantik Santo pada pertengahan musim ini, ditambah pula dengan hakikat pengurus kelahiran Portugal ini masih mempunyai kontrak bersama Wolves sehingga 2021.
Mikel Arteta pula dilihat sebagai calon pilihan kedua selepas Santo. Penolong pengurus Manchester City ini dilaporkan berminat, tetapi Arsenal melihat kekurangan pengalamannya mengurus pasukan sebagai penghalang utama.
Max Allegri yang kini menganggur pula calon pilihan ketiga Arsenal. Beliau dilaporkan turut bersaing dengan Emery untuk menjadi pengurus Arsenal sebelum musim 2018/2019, tetapi tewas. Bagaimanapun minat beliau mengurus Arsenal masih lagi belum pudar.