Selepas Antonio Conte membuat kemunculan semula di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL), Unai Emery pula dilaporkan semakin hampir untuk mengikut jejak pengurus baharu Tottenham Hotspur itu selepas pemilik baharu Newcastle United telah pun mengenal pasti calon terbaik untuk menggantikan Steve Bruce.
Sekalipun rundingan mengenai perincian kontrak dan gaji Emery masih berjalan, namun kelab yang diambil alih oleh konsortium Arab Saudi itu optimis bekas pengurus Arsenal itu akan mendarat di St. James Park dalam masa terdekat.
Jurulatih berusia 50 tahun itu masih meneruskan tugasnya bersama pasukannya ketika Villareal menewaskan Young Boys 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Selasa dan menjelaskan sehingga kini masih tiada tawaran rasmi dari Newcastle kepadanya.
EXCLUSIVE: Newcastle new manager plan emerges with former Arsenal boss Unai Emery in the frame | @MirrorDarrenhttps://t.co/6h5clF4L1z pic.twitter.com/iOri0s6KDM
— Mirror Football (@MirrorFootball) November 1, 2021
“Newcastle ada nyatakan minat, tetapi saya hanya fikirkan tentang setiap perlawanan [Villareal] setiap hari. Tiada tawaran lagi. Jika ada tawaran pun ia akan dibuat melalui kelab. Saya hanya fokus untuk Villareal, tak lebih dari itu,” ujar Emery dalam sidang media selepas perlawanan.
Calon terbaik
Pemilik bersama Newcastle, Amanda Staveley dilaporkan menjadi individu paling sibuk ketika ini. Dikatakan hampir setiap hari beliau meneruskan usaha untuk mencari calon terbaik dan sudah menjalankan beberapa sesi temuduga secara dalam talian.
Terdapat juga calon lain yang dikatakan berjaya menarik perhatian pengurusan kelab seperti Eddie Howe, tetapi rekod prestasi Emery terutamanya di kejohanan Eropah menjadikan beliau sebagai pilihan utama.
4 Senarai Akhir Pengurus Newcastle United Mahu Lantik Gantikan Steve Bruce
The Magpies dilaporkan sudah menyediakan £6 juta (RM33.9 juta) sebagai tebusan kepada baki kontrak Emery di Villareal. Ia dianggap nilai yang berbaloi untuk mendapatkan seorang pengurus yang mempunyai memiliki latar belakang cukup memberangsangkan.
Jurulatih berusia 50 tahun itu akan ditawarkan dengan kontrak selama tiga tahun dengan anggaran gaji sekitar £7 juta (RM39.6 juta) setahun, tidak jauh berbeza dengan apa yang diterimanya ketika bersama Arsenal sebelum ini.
Emery merupakan sosok yang cukup dikagumi dengan kepakarannya menjuarai Liga Europa (UEL) termasuk yang diraih pada musim lalu bersama Villareal selepas menewaskan Manchester United dalam perlawanan akhir.
Beliau juga pernah memenanginya untuk tiga tahun berturut-turut pada 2014 hingga 2016 bersama Sevilla dan hampir memenanginya pada 2019 bersama Arsenal sebelum dikecewakan Chelsea dalam perlawanan akhir.
According to SPORT1, Unai Emery is favourite to become the new manager of Newcastle 👀 pic.twitter.com/YcM0sO0iRJ
— GOAL (@goal) November 1, 2021
Selain itu, rekodnya menjuarai Ligue 1, Coupe de France, Coupe de Ligue dan Trophee des Champions bersama Paris Saint-Germain (PSG) melengkapkan lagi rekod cemerlang dalam karier kejurulatihannya setakat ini.
Tiada jalan singkat
Sekiranya perpindahannya ke Tyneside menjadi kenyataan, ia bukanlah jalan mudah untuk Emery dalam usahanya mengembalikan kegemilangan kelab yang sarat dengan sejarah itu. Selepas 10 perlawanan liga, Newcastle masih buntu mencari kemenangan dan terperosok di kedudukan kedua tercorot.
Jika Emery menerima tawaran Newcastle ini, bukan sahaja beliau terpaksa meninggalkan kejohanan Eropah, namun terpaksa bekerja dengan segala kekurangan termasuk menerima pemain dan barisan kejurulatihan sedia ada sementara menunggu jendela perpindahan Januari dibuka.
Newcastle United set to spend the majority of November in relegation zone after Leeds triumph https://t.co/hrkmRkKMod pic.twitter.com/zIqR2uA13s
— The Journal NUFC (@TheJournalNUFC) October 31, 2021
Kejayaan tidak akan datang sekelip mata, masih banyak kerja yang perlu dilakukan Amanda Staveley bersama pasukannya termasuk usaha untuk menaik taraf fasiliti kelab seperti stadium dan pusat latihan.
Pemilik kelab dikatakan sudah bersedia untuk melabur sejumlah £200 juta (RM1.13 bilion) untuk dibelanjakan sepanjang tempoh perpindahan musim sejuk ini, namun keutamaan untuk jangka masa pendek adalah keluar dari zon penyingkiran.
Namun ia mungkin peluang terbaik Emery untuk membuktikan sesuatu setelah reputasinya tercalar akibat disingkirkan Arsenal pada penghujung 2019 yang lalu.
Sebaik sahaja dipecat, Emery menegaskan tugasnya di liga utama England tersebut masih belum selesai. Ia menunjukkan tekad beliau untuk kembali.
Reputasi dan rekod yang dimiliki Emery telah pun terbukti, apa yang penting, pemilik Newcastle perlu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pengurus baharu untuk membina pasukan.