Pada pandangan mereka yang menonton perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) diantara Juventus dan Real Madrid, pastinya ada yang mahukan Gianluigi Buffon memenangi kejuaraan tersebut.
Untuk rekod, penjaga gol lagenda itu telah menang segala kejuaraan yang mampu beliau miliki kecuali gelaran Eropah sahaja.
Kemenangan ke atas Real Madrid di Cardiff sepatutnya menjadikan karier sebagai penjaga gol beliau lengkap dengan jayanya.
Namun selepas 3 kali mencuba, hari kemenangan yang dinanti tidak kunjung tiba.
Selepas kekalahan di tangan Real Madrid pagi tadi, simpati terhadap Juventus majoritinya pergi ke Buffon yang terlalu idamkan kejuaraan ini.
Untuk dikecewakan 2 kali dalam 3 musim bukanlah sesuatu yang dimahukan beliau.
Pada 2015, Buffon dan rakan-rakan dikecewakan oleh Barcelona dengan kekalahan di perlawanan akhir di Berlin.
Kali ini pada 2017, Real Madrid pula mengecewakan beliau.
Bercakap selepas perlawanan, nyata dari gaya bahasa beliau terpancar pasrah diatas takdir yang berlaku.
“Jelas sekali ia merupakan satu kekecewaan yang cukup besar.”
“Kami sangkakan kami telah berikan segalanya untuk menang kejohanan ini, namun ternyata ia tidak cukup.”
Walaupun kecewa, Buffon tetap memuji persembahan Real Madrid terutamanya di separuh masa kedua.
“Real Madrid berhak untuk menang ketika separuh masa kedua.”
“Mereka menunjukkan kelas tersendiri dan sikap yang diperlukan untuk bermain perlawanan seperti ini.”