‘Budaya Lapuk & Menyusahkan’ – Kerajaan Perlu Berhenti Umum Cuti Bila Menang Bola

Zakaria Rahim Piala Malaysia Kuala Lumpur City Cuti Bola

Sehari selepas pasukan Kuala Lumpur City menjuarai kejohanan Piala Malaysia, Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Menterinya, Datuk Seri Shahidan Kassim telah mengumumkan cuti am tambahan pada Jumaat 3 Disember 2021 ini untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Mungkin ada yang beranggapan cuti ini wajar diberikan bagi meraikan kejayaan pasukan bola sepak Kuala Lumpur menamatkan kemarau 32 tahun tanpa kejuaraan selepas kali terakhir pasukan ibu kota memenanginya adalah pada tahun 1989.

Pagi Kecil Hati, Petang Bagi Cuti, Jiwa Besar Menteri Wilayah Shahidan Kassim Raih Pujian Netizen

Bagaimanapun bukan semua pihak bersetuju dengan budaya ini kerana ‘cuti mengejut’ ini banyak mengganggu urusan dan perkara mustahak di pelbagai sektor sama ada kerajaan mahu pun swasta.

Bayangkan jika sesebuah syarikat itu sudah merancang perkara penting untuk urusan perniagaannya, sekolah yang sudah merancang program atau peperiksaan mengikut takwim tahunan, pesakit yang sudah mendapatkan temujanji di hospital dan sebagainya.

Semuanya akan tergendala dan pastinya ia memberi kesulitan kepada pelbagai pihak apabila cuti ini diberikan secara mengejut yang bukannya disebabkan bencana atau musibah.

Antara yang menyuarakan pandangan ini adalah bekas pengurus pasukan Selangor FA, Zakaria Rahim menerusi satu hantaran di Facebook yang menegaskan bahawa ia merupakan bukti minda sesetengah rakyat Malaysia masih terkebelakang.

“Ini pemikiran dulu-dulu ketika zaman bola sepak di Malaysia masih amatur. Dulu pasukan yang bertanding adalah pasukan negeri, pemainnya pula adalah rakyat atau penduduk negeri itu. Dana untuk urus pasukan itu adalah dari pemerintah negeri atau daerah,” ujarnya.

“Pemain pula bekerja di pejabat dan berlatih di petangnya dan berlawan di hujung minggu sama ada petang atau waktu malam. Isninnya, semua pemain masuk pejabat dan hidup seperti biasa. Pemain pula semuanya rakyat atau penduduk negeri itu.

“Pentadbir pula adalah sebuah persatuan bola sepak (FA) dan diketuai oleh pegawati tinggi kerajaan, kebiasaannya Menteri Besar negeri. Waktu tu satu-satunya piala bola sepak tertinggi di Malaysia ialah Piala Malaysia.

“Bila juara, pemerintah bagi cuti agar rakyat negeri dapat meraikan kemenangan dan pemain pun tak perlu ke pejabat. Dulu ada pemain negeri dihambat bos sebab sibuk main bola je sampai kerja pejabat terabai. Itu dulu, sejarah.”

Menurut Zakaria lagi, bola sepak Malaysia hari ini sudah memasuki era profesional di mana dua badan pentadbir utama iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah bekerja keras untuk memastikan penswastaan setiap pasukan yang bertanding di Liga Malaysia (Liga-M).

Semua kelab bola sepak diuruskan dan ditadbir oleh pengurusan profesional bagai sebuah perniagaan. Pasukan diibaratkan seperti peniaga dan gaji pemain pula melangkaui gaji seorang pakar perubatan atau peguam yang sudah bertahun-tahun belajar dan bekerja.

“Mereka boleh sahaja base dimana-mana walau pakai nama negeri atau daerah pada nama pasukan. Pemain pula datang dari berbagai tempat malah ada pemain dan staff dari luar negeri atau negara,” tambahnya lagi.

“Kini semua pasukan ini adalah sebuah kelab milik individu atau sekumpulan orang. Lantak dialah kalau dia nak bagi cuti pada pemain dan pekerja dia. Itu kelab dia.

“Tapi yang masih sama macam dulu ialah kebanyakan kelab ini berlatih masih macam pemain amatur dulu. Latihan sehari sekali, maksimum dua jam sehari dan waktu petang.

“Kalau ada tambahan pun pagi sekali dan petang sekali tapi itu dalam tempoh satu hingga dua bulan pra-musim. Waktu lain mereka bebas kemana dan buat apa.

“Berbeza dengan pemain di negara maju bolasepak dimana pemain dibayar jutaan setahun tapi mereka wajib hadir ke kelab dari pagi hingga petang untuk latihan, senaman, perubatan, perbincangan dan makan bersama. Macam pekerja swasta masuk pejabat juga.

“Tapi bila mereka juara, negeri mereka tak cuti sebab mereka adalah sebuah kelab, bukan kerajaan. Kelab mereka pun tak cuti, kerja macam biasa. Yang cuti pemain sahaja.

“Di Malaysia hari ni, semua pasukan adalah sebuah kelab, bukan kerajaan dan tak ada kena mengena dengan kerajaan. Kemenangan mereka tak ada kena mengena dengan jabatan-jabatan kerajaan, bank-bank, syarikat korporat, kilang-kilang.

“Apatah lagi tak ada kena mengena dengan budak-budak sekolah, kolej-kolej, universiti dan pusat-pusat yang beroperasi.

“Pasukan yang main bola tu dan piala yang dimenanginya tak ada kena mengena dengan kaunter-kaunter perkhidmatan di dalam negeri itu dan majlis-majlis atau perbandaran kerajaan tempatan sampaikan seluruh kaunternya perlu ditutup kerana menang piala yang dimainkan oleh pemain professional gaji puluhan ribu.

‘”Pemain bermain sebab dibayar gaji ribu-ribu. Itu tanggungjawab dia pada pasukan, bukan pada negeri. Kalau pasukan tak bayar, mereka pergi ke pasukan lain samada yang kebetulan base di daerah yang sama atau negeri yang sama atau bebas cari pasukan di luar negeri.

“Hak bagi cuti adalah hak sesebuah kerajaan dan tertakluk kepada sesuatu akta. Kelab bola tak ada hak bagi cuti. Jadi, kalau kelab tu juara, apa kena mengena mereka dengan akta cuti tu?

“Orang lain yang tak ambil tahu tentang bola atau liga pro pun terkait dengan cuti. Kena pula dia tokey dan ada pekerja. Terpaksa tutup kedai atau ofis atau bayar gaji overtime untuk pastikan pekerja tetap datang. Kos naik.

“Pasti, para expatriate di Malaysia yang kebanyakannya menghuni di KL akan terkejut dan pening. Apahal menang bola isytihar cuti? Lagi pelik, yang menang tu Kuala Lumpur, tapi pejabat tutup sampai ke Labuan.

“Pentadbir Kuala Lumpur adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kementerian Wilaya Persekutuan (KWP) pula adalah pentadbir tiga daerah dalam Walayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya & Labuan. KL menang bola, bank pesisir pantai Labuan kena tutup. Kalau buka, kena bayar elaun kerja lebih masa kepada staff.

“Hentikanlah budaya bagi cuti bila menang bola atau sukan. Menang kita raikan, tapi produktiviti kena diteruskan. Malaysia ini dah terlalu banyak cuti. Banyak cuti bukan work life balance tapi productivity loss to the nation.

“Seperkara lagi ialah budaya bila menang bola, bagi tanah, rumah, bangunan. Sekali lagi diulang, mereka pemain pro dengan gaji beribu-ribu sebulan. Kenapa nak bagi habuan macam tu?

“Lainlah kalau kelabnya beli tanah tu dari kerajaan atau individu dan bagi pada pemain, itu hak kelab. Tapi bukan dari aset kerajaan.

“Kena perbetulkan ni kerana Malaysia ni banyak perkara nak ke RESET!”

Leave a Reply