Pembelian Cristiano Ronaldo oleh Juventus adalah satu perkara yang sia-sia.
Itulah yang dikatakan oleh bekas Presiden Juventus, Giovanni Gigli mengenai perpindahan pemain itu.
Gigli yang memimpin Juventus dari tahun 2006 hingga 2009 berkata pembelian Ronaldo itu adalah satu kesilapan dan mustahil untuk kelab itu mendapatkan pulangan semula.
“Saya selalu berlaku jujur dan saya katakan yang pembelian Ronaldo ini adalah satu kesilapan.”
“Adalah mustahil untuk mendapatkan semula pulangan hasil daripada perpindahan yang dilakukan. Jadi, tindakan yang terbaik adalah menjualnya.”
Gigli berkata sedemikian kerana tindakan menjual Ronaldo ke pasukan lain hanya akan menimbulkan situasi menang-menang kepada Juventus dan ketua pasukan Portugal itu.
Pada hemat Gigli, tindakan terbaik yang boleh dilakukan oleh Juventus sekarang adalah dengan menjual Ronaldo dan menawarkan kontrak baharu kepada Paolo Dybala.
“Lebih baik tawarkan kontrak baharu kepada Dybala dan jual Ronaldo.”
“Tetapi pemain seperti beliau tidak akan dapat dijual dalam masa yang singkat, jadi saya rasa beliau akan kekal bersama-sama Juventus.”
Dalam masa yang sama, Gigli juga mengatakan kehadiran Ronaldo membantutkan corak serangan Juventus.
Beliau berasakan serangan Juventus akan terbantut kerana serangan akan berpaksi kepada beliau sahaja.
“Ronaldo membantutkan serangan Juventus. Tanpa beliau, pasukan boleh melakukan perkara yang hebat secara kolektif.”
Juventus dikhabarkan akan melepaskan Cristiano Ronaldo dengan nilai sebanyak Є25 juta.
Ketika ini, Manchester City dikatakan begitu berminat untuk mendapatkan mantan bintang Manchester United itu.