Jika pengurusan Kedah Darul Aman FC tidak rasa terjentik dengan kenyataan tiga individu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Aidil Sharin Sahak dan Baddrol Bakhtiar, entah apa yang berada di fikiran mereka ketika ini.
Begitupun, sekalung tahniah buat Kedah yang menyamai pencapaian musim lalu, meraih tangga kedua Liga Super seterusnya layak ke saingan Piala AFC – tahun kedua berturut-turut. Ini menunjukkan Kedah adalah pasukan yang kuat dan pencabar konsisten buat Johor Darul Ta’zim (JDT) – walaupun jurang mata yang jauh.
Pada edisi 2020 yang dilangsungkan satu pusingan, Kedah muncul naib juara dengan perbezaan tujuh mata sahaja, sementara untuk musim ini, selepas 22 perlawanan, skuad Hijau Kuning 14 mata di belakang JDT.
📊 KEDUDUKAN LIGA SUPER – LS22#LigaSuper2021 pic.twitter.com/d4eEZyscqq
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 12, 2021
Mereka hampir tergelincir di hujung saingan apabila kehilangan khidmat Kpah Sherman dan Rabih Ataya untuk empat perlawanan terakhir apabila kedua-duanya menyertai kem skuad kebangsaan masing-masing.
Pujian buat Kedah, aksi terumbang-ambing dalam tiga perlawanan berjaya diperbaiki dalam perlawanan terakhir, menang besar 4-1 ke atas pasukan ‘liat’, Melaka United. Jika tidak, Penang FC sedang mengintai peluang untuk memintas kedudukan tersebut disamping merampas tiket untuk ke saingan Piala AFC.
Sesuatu yang menarik perhatian adalah komen pengendali, Aidil Sharin di sidang media sejurus sah bergelar naib juara liga. Katanya, “Tentunya saya berpuas hati [berada di kedudukan kedua], dengan skuad yang kecil dan tiada bajet yang besar. Kredit ini harus diberikan kepada semua yang berada dalam pasukan Kedah.”
Skuad yang kecil dan tiada bajet besar. Itu dua perkara yang disebut oleh pengendali Kedah itu. Menurut Aidil Sharin, beliau hanya ada sekitar 21 pemain termasuk penjaga gol untuk digunakan sepanjang musim ini.
Mungkin majoriti pemain yang berada di bangku simpanan belum cukup berkualiti untuk mengharungi satu musim menyebabkan Aidil Sharin lebih banyak menggunakan kesebelasan utama yang sama, saban minggu.
Hanya penggiliran kecil boleh dilakukannya dalam satu-satu masa seperti kemasukkan pemain-pemain ‘muda’, Fadzrul Danel, Fayadh Zulkifli serta Loqman Hakim agar pasukan tidak terlalu terjejas permainannya.
Anda boleh saksikan aksi terumbang-ambing Kedah saat penggiliran pemain terpaksa dilakukan di hujung musim sehingga melibatkan pemain skuad Piala Presiden – menang sekali, seri dua dengan satu kekalahan.
Baddrol Bakhtiar Bangkit Dari Kritikan, Muncul Penjaring Terbanyak Tempatan
Selain itu, kenyataan kapten, Baddrol Bakhtiar juga amat menarik perhatian selepas dijulang sebagai penjaring tempatan terbanyak saingan musim ini dengan tujuh gol. Bukan kritikan ke atasnya tetapi isu lain.
Ujarnya kepada pihak media mengenai kejayaannya itu, “Seperti yang pernah saya katakan sebelum-sebelum ini, pasukan Kedah setiap tahun sentiasa akan ada masalah. Dan masalah itu kami anggap sebagai satu cabaran dalam karier bola sepak dan anggapnya satu motivasi dalam karier kami.”
“Tahun ini pun kami dilanda dengan pelbagai masalah,” ungkapnya yang tentunya memberikan kita seribu satu persepsi mengenai apa yang berlaku dan dilalui mereka di kem Hijau Kuning sepanjang musim ini.
Saban tahun ada masalah adalah kata kunci yang penting. Apa yang cuba disampaikan oleh Baddrol Bakhtiar?
Koperasi Anak Kedah Tawarkan Diri Untuk Memiliki Helang Merah 2021 https://t.co/XfJhsTtpOU pic.twitter.com/vkNMlutDNp
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) August 14, 2020
Bolehkah pengurusan Kedah menjanjikan saingan musim 2022 lebih lancar tanpa sebarang masalah? Adakah jika mereka melepaskan pegangan saham kepada Koperasi Anak Kedah ataupun syarikat tujuan khas (SPV) yang baharu dibentuk, GoFlumen tempohari, Kedah akan melalui musim tanpa sebarang isu besar?
Musim depan Kedah akan ke saingan Piala AFC, tentunya perlukan bajet yang besar. Jika bajet kecil dikekalkan, mampukah mereka bersaing di peringkat Asia? Bajet kecil pun bermasalah, jadi bagaimana?
Jika diperhalusi kenyataan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau Tunku Mahkota Johor (TMJ), beliau mengingatkan agar pengurusan skuad Hijau Kuning agar mengambil berat kebajikan pemain-pemain.
Katanya dalam rancangan Bola@Mamak terbitan Astro Arena, “Saya rasa pengurusan Kedah harus menjaga [kebajikan] pemain-pemain dan pasukan Kedah dengan lebih baik. Kerana mereka ‘solid’ setiap tahun.”
“Tidak kira apa masalah pun seperti masalah gaji, mereka masih memberi sepenuhnya untuk pasukan. Dengan itu, saya mengucapkan syabas kepada pemain-pemain Kedah kerana [mereka] ada sifat sabar.
“Kepada pengurusan Kedah, saya berharap mereka akan mengambil langkah lebih efektif untuk menjaga kelab ini,” ulasnya ketika ditanyakan tiga pasukan yang menarik perhatiannya dalam saingan musim ini.
TMJ, Aidil Sharin dan Baddrol Bakhtiar melontarkan isu yang wajar diperhatikan oleh pengurusan Kedah.
Pertama, skuad mereka kecil berbanding pasukan lain. Mungkin tambahan pemain berkualiti diperlukan.
Kedua, bajet pasukan yang kecil. Ini wajar diperhalusi semula kerana jika tiada sebarang aral, Kedah memerlukan sumber kewangan yang kukuh untuk bersaing di Piala AFC. Kantung sedia ada perlu dibesarkan.
Ketiga, melalui masalah setiap musim. Bagi pemain, kehilangan rakan sepasukan adalah perkara kecil kerana ada lagi pemain lain yang boleh diturunkan tetapi mungkinkah di sini, ia membawa maksud masalah gaji?
Dan yang terakhir jagalah kelab ini dengan sebaik-baiknya. Janganlah hanya sekadar menyediakan pasukan sekadar mampu tetapi mengharapkan pulangan yang besar. Dan ia wajar bermula daripada sekarang.