Penjaga gol PDRM FA, Bryan See Tian Keat percaya pemotongan mata tempohari membuatkan para pemain kian membara untuk memberikan aksi yang terbaik.
PDRM telah dipotong tiga mata akibat kegagalan melunaskan tungakan gaji pemain musim lalu dan berkemungkinan akan dipotong enam mata lagi sebelum sepak mula CIMB Liga Super 2020 pada 28 Februari, jika masih gagal untuk berbuat demikian.
Ini merupakan musim pertama mereka di saingan Liga Super selepas merampas tiket Pulau Pinang yang dipotong enam mata pada penghujung musim lalu.
Bryan See yang menyertai PDRM di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada Julai lalu menyatakan keyakinan The Cops mampu kekal bersaing di Liga Super.
“Saya mahu membantu PDRM kekal di Liga Super dan akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Dengan bajet yang ada, kekal di Liga Super adalah satu pencapaian yang baik buat pasukan,” ujarnya yang kini berusia 26 tahun.
“Semua pemain sukakan cabaran di sini dan pemotongan mata telah menambah semangat buat kami untuk membuat yang lebih baik dalam setiap perlawanan.
“Diharapkan semua pemain tidak terganggu dengan isu ini,” tambahnya yang pernah beraksi selama empat tahun di luar negara antaranya bersama Universiti California.
Menurutnya lagi, para pemain sudah semakin serasi bersama pengendali pasukan, Ishak Kunju Mohamed yang baginya suka memberikan nasihat dan pendapat.
Selain itu, pendekatan Ishak Kunju yang mahukan PDRM bermain bola sepak moden adalah perkara yang paling disukainya dan semua semakin menyesuaikan diri.
“Pra-musim berlangsung sangat baik. Pasukan dilihat semakin bertambah baik dan semua sedang memberikan yang terbaik sebelum saingan liga bermula.
“Pemain-pemain juga sudah memahami kehendak jurulatih dan kian serasi. Jurulatih mahukan kami bermain bola sepak moden, satu perkara yang saya suka mengenainya,” tambah Byan See yang dipetik daripada The Star.
“Saya juga berharap dapat memikat pengendali skuad kebangsaan [Tan Cheng Hoe], jika mempamerkan aksi yang mantap,” ujarnya lagi mengenai harapannya.
PDRM akan membuka tirai saingan Liga Super berdepan juara Liga Premier 2019, Sabah pada 1 Mac sebelum berdepan dua pasukan gergasi, Melaka United (6 Mac) dan juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 Mac.
KREDIT FOTO: PDRM FA