Bruno Junichi Suzuki Castanheira, adalah pemain kelahiran Brazil yang dibersarkan di Jepun. Beliau memiliki rekod pembangunan bola sepak yang sangat baik sejak dari kecil.
Bruno Suzuki adalah pemain yang bermain di penyerang utama dan tipikal target man di dalam pasukan.
Bruno Suzuki memulakan karier dengan Albirex Niigata pada 2009. Untuk menyokong pembangunan karier beliau, Albirex telah meminjamkan Bruno Suzuki ke beberapa kelab.
Beliau kemudian menyertai sebuah lagi francais Albirex Niigata di Asia Tenggara iaitu, Albirex Niigata Singapura.
Kegagalan untuk mendapat kontrak dengan pasukan utama membuatkan Bruno Suzuki memutuskan untuk kekal di Singapura.
Namun beliau telah menyertai Geylang International pada 2015. Hanya semusim di Geylang, Bruno menyertai Gifu pada musim seterusnya.
FC Gifu adalah pasukan yang bermain di J2-League Jepun. Selepas tamat kontrak dengan Gifu, beliau memutuskan untuk kembali ke Asia Tenggara.
Kenaikan pangkat menyarung jersi skuad ‘abang’ Terengganu FC (TFC), memberi petanda sudah tiba masanya beliau mencipta jaringan pertama sesudah buntu meledak gol setakat ini.
“Saya gembira kerana penampilan pertama bersama pasukan baharu, TFC berakhir dengan kemenangan bergaya menumpaskan Melaka United 3-0 Jumaat lalu.
“Walaupun saya tidak berjaya meledak gol dalam perlawanan pertama itu tapi saya gembira kerana dapat membantu kemenangan pasukan hasil dua umpanan sebelum rakan sepasukan menjaringkan gol.
“Dalam perlawanan itu saya mempunyai beberapa peluang untuk menghasilkan gol, tapi gagal menemui sasaran, saya tidak kisah kerana yang penting kami menang dan kini sudah tiba masa buat saya meledak jaringan.
“Pada masa sama saya juga gembira kerana kembali beraksi dengan bekas rakan sepasukan Lee Tuck ketika bersama dengan Negeri Sembilan yang saya sifatkan antara pemain tengah terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M),” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Sebelum ini, ketika bermain untuk Terengganu FC II (TFC II) beliau gagal menyerlah dan masih tidak berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol walaupun musim lalu berjaya meledak 11 gol bersama Negeri Sembilan.
“Penawar seorang penyerang adalah menghasilkan jaringan, justeru saya akan memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya,” kata Suzuki.