Bruno Fernandes adalah penyokong Manchester United sejak era Cristiano Ronaldo, dan pemain tengah berusia 25 tahun ini akhirnya melengkapkan perpindahan ke Old Trafford selepas berbulan-bulan spekulasi.
Seperti Ronaldo, Fernandes turut berhijrah menyertai United daripada Sporting Lisbon, dan telah menandatangani kontrak selama lima tahun setengah.
Perpindahan tersebut melibatkan nilai yuran sebanyak £47 juta, tetapi ia boleh meningkat sehingga mencecah £67.7 juta bergantung kepada pencapaian kelab dan individu.
“Bermain untuk Manchester United sentiasa memberi perasaan yang menakjubkan,” kata pemain antarabangsa Portugal itu.
Ketibaan pemain tengah itu di Old Trafford dianggap sebagai penambahbaikan yang amat berkualiti oleh pengurus pasukan Ole Gunnar Solskjaer.
Pembelian Fernandes oleh United dianggap perpindahan terbesar di Liga Perdana Inggeris di jendela perpindahan Januari setakat ini.
“Saya mulai jatuh hati dengan Manchester United sejak saya menyaksikan Cristiano Ronaldo beraksi [di sini], dan selepas itu saya adalah penyokong setia kepada kelab hebat ini,” tambah Fernandes.
“Saya telah bekerja keras untuk sampai ke tahap ini, dan saya berjanji kepada semua penyokong akan memberikan segala apa yang saya ada demi lencana ini untuk membawa pulang lebih banyak kejayaan dan trofi.
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pihak Sporting Lisbon untuk segalah perkara yang mereka telah lakukan untuk saya.
Manchester United dijangka akan membayar tambahan £5 juta kepada Sporting Lisbon jika berjaya melayakkan diri ke pertandingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, dan tambahan £5 juta untuk penglibatan Fernandes di dalam pasukan.
Baki klausa tambahan untuk Fernandes pula adalah bergantung kepada pencapaian pemain tersebut secara individu.