Brunei Lantik Bekas Pengendali East Bengal Ganti Datuk K. Rajagobal

Mario Rivera

Brunei Darussalam baru-baru ini telah membuat keputusan untuk melantik jurulatih berprofil tinggi bagi mengemudi skuad kebangsaan mereka.

Mereka melantik Mario Rivera yang merupakan pelantikan berprofil tinggi kedua dilakukan negara itu selepas mendapatkan khidmat bekas jurulatih Harimau Malaya iaitu Datuk K. Rajagobal.

Rivera ditugaskan bagi menggantikan Rajagobal yang sebelum ini hanya berkhidmat sebentar sahaja dengan negara itu.

Rivera sebelum ini pernah berkhidmat di India bersama-sama East Bengal pada 2020.

Sepanjang berada di East Bengal, Rivera hanya mengendalikan sembilan perlawanan sahaja dengan bola sepak terhenti pada tempoh tersebut akibat Covid-19.

Kini menggantikan Rajagobal sebagai pengendali Brunei, ini bukanlah tugasan pertama Rivera bersama-sama negara itu.

Sebelum ini, Rivera pernah menjadi pengendali kepada skuad B-21 Brunei pada 2018 dengan beliau pernah membawa skuad muda negara itu dalam kejohanan Trofi Hassanal Bolkiah.

Dalam kejohanan tersebut, Rivera gagal memberikan kejuaraan apabila skuad B-21 Brunei tersingkir di peringkat kumpulan dengan menyaksikan Timor Leste muncul sebagai juara.

Niat mahu bangkit

Selepas projek yang anti-klimaks bersama-sama Rajagobal, Brunei meneruskan misi untuk membangunkan bola sepak mereka dengan menjadikan Rivera sebagai ketuanya.

Pelantikan Rivera adalah satu niat yang jelas dan jitu daripada Brunei untuk menaikkan bola sepak mereka yang sudah lama berada tahap yang mengecewakan terutamanya di peringkat Asia Tenggara.

Pastinya, pihak FA Brunei mempunyai pelan jangka panjang untuk bola sepak mereka. Namun begitu, misi awal semestinya untuk meningkatkan kualiti pasukan.

Brunei pastinya tidak lagi mahu menjadi pasukan yang terpaksa bersaing dalam pusingan kelayakan Piala AFF saban edisi bersama-sama Timor Leste dan cuba mahu menjadi muka tetap kejohanan.

Perjalanan yang pastinya sukar buat mereka tetapi semoga berjaya buat Rivera dan Brunei.

Leave a Reply