Pasukan tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris, Brighton & Hove Albion mencipta rekod perpindahan tertinggi buat kelab tersebut apabila merekrut penyerang PSV Eindhoven, Jurgen Locadia.
Penyerang berusia 24 tahun itu memegang reputasi selaku penjaring ketiga terbanyak buat PSV di belakang Hirving Lozano dan Marco Van Ginkel. Beliau telah menghasilkan 9 gol dalam 15 perlawanan musim ini.
Perpindahan yang bernilai £16 juta itu dilihat sebagai keputusan yang tepat tatkala Brighton hanya mampu menjaringkan 17 gol selepas mengharungi 23 perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Pemain antarabangsa Belanda itu bakal terlepas aksi sulung minggu ini berdepan Chelsea akibat kecederaan yang dialaminya. Locadia menandatangani kontrak bersama Brighton sehingga tahun 2022.
”Ianya merupakan hari yang panjang tetapi saya sangat gembira berada di sini dan menunjukkan kepada dunia bahawa saya telah menandatangani kontrak bersama Brighton,” ujar Jurgen Locadia.
”Saya tidak sabar untuk beraksi menentang setiap pasukan dalam liga ini. Saya suka menonton Liga Perdana Inggeris di kaca televisyen rumah. Ia adalah impian saya untuk beraksi di sini.”
Bagi pengurus Brighton & Hove Albion, Craig Hughton pula beliau amat gembira dengan kehadiran Locadia ke dalam pasukannya.
Bercakap dalam laman web rasmi pasukan, Hughton berkata: ”Kami gembira dapat menandatangani Jurgen (Locadia) dan gembira untuk mengalu-alukan kehadirannya ke dalam pasukan.”
”Dia adalah seorang pemain yang kami sedar sejak sekian lama dan bukan rahsia lagi buat kami untuk menambah penyerang jenis seperti dia.”
”Dia seorang penyerang yang kuat dan pantas, dengan naluri untuk mencipta jaringan dan akan menambahkan pilihan di bahagian serangan pasukan pada pusingan kedua musim ini.”
”Jurgen sudah membuktikan dia adalah penyerang prolifik dengan rekod jaringannya di PSV dalam liga utama Belanda dan itulah satu harapan kami agar dia terus mempamerkan bisanya disini dalam Liga Perdana Inggeris.”