Presiden Brescia, Massimo Cellino menegaskan bahawa pasukannya tidak akan turun beraksi sekiranya saingan Serie A 2019/20 kembali bersambung dan bersiap sedia untuk menerima apa sahaja hukuman diatas keputusannya itu.
Susulan serangan wabak COVID-19 yang amat buruk di sana, kerajaan Itali telah mengambil keputusan dengan melanjutkan lagi sekatan pergerakan dan aktiviti luar yang ketat sehingga 3 Mei nanti.
Sehubungan dengan itu, dikhabarkan terdapat beberapa kelab yang mahu kembali memulakan sesi latihan dan meneruskan kembali saingan liga pada penghujung bulan [Mei] tersebut serta menamatkan kempen 2019/20 pada bulan Julai.
Cellino bagaimanapun masih tetap dengan pendirian tegasnya untuk tidak mahu mengambil sebarang risiko berhubung perkara terbabit.
”Saya melihat terlalu ramai orang yang mementingkan diri dan juga mengambil kesempatan di atas situasi yang melanda ini.”
”Lotito [Presiden Lazio] mahu pasukannya kembali beraksi? Saya hanya mendengar kepada orang yang patut untuk didengari. Saya tidak tahu jika Lotito mewakili Lazio, kerana dia hanya presiden kepada Ahli Lembaga Pengarah,” ujar Cellino menurut laporan Goal.
”Biarkan mereka berjalan di sekitar Brescia dan lihat apa yang sedang terjadi di sana. Saya tidak mahu apa-apa kelebihan dan saya tidak takut kepada penyingkiran, kerana saya tahu kelab ini tidak akan bankrap dan kami akan kembali mendapatkan tempat di Serie A.”
”Saya ulangi sekiranya liga kembali bersambung, Brescia tidak akan bermain.”
”Ini bukan satu provokasi. Mereka boleh memotong mata kami jika mahukan, saya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya,” tegas Cellino lagi.
Selepas mengharungi 26 perlawanan Serie A sebelum saingan terpaksa ditangguhkan akibat COVID-19, Brescia berada di tangga terbawah selepas hanya mengumpul 16 mata hasil empat kemenangan, empat keputusan seri dan 18 kekalahan yang dialami.
Brescia yang merupakan sebuah bandar di Wilayah Utara Itali, Lombardv merupakan antara kawasan yang terjejas teruk diserang wabak berbahaya itu.
Kredit foto: Pier Marco Tacca/Getty Images