Brendan Gan beranggapan tidak ada aksi mudah dalam perlawanan pertama menentang Pahang nanti, walaupun ramai bertanggapan persiapan skuad Pahang pada musim ini tampak tempang.
Selangor akan berkunjung ke Stadium Darul Makmur pada 29 Februari akan datang untuk perlawanan sulung Liga Super Malaysia (MSL) musim ini.
Bagi Brendan, tentangan dari pasukan Pahang tidak wajar dilihat sebelah mata. Apatah lagi kekuatan sebenar skuad kendalian Dollah Salleh tidak berapa diketahui selepas melalui beberapa perubahan.
Penghijrahan Matthew Davies ke JDT dua minggu sebelum musim bermula dilihat ramai akan membuatkan skuad Pahang tempang pada musim ini.
“Saya tidak setuju dengan pendapat itu. Davies adalah seorang pemain, bukan 11 atau 23,” kata Brendan kepada Stadium Astro.
“Pahang tetap memiliki barisan pemain tempatan dan import yang bagus walaupun harus akur Davies pemain yang hebat.
Rakan sepasukan dan penyeran import Selangor, Ifedayo Olusegun pula mahu Selangor memberikan permulaan cemerlang dari awal musim untuk membina momentum baik sepanjang musim MSL ini.
“Kami melalui kempen pramusim yang panjang. Jadi, saya harap kami meraih keputusan yang baik.
“Kami bekerja keras dan diharapkan mencatat keputusan baik dalam empat atau lima aksi pertama,” katanya.
Selepas kunjungan ke Kuantan untuk berhadapan Pahang, Selangor akan memnanti kunjungan Perak di Shah Alam pada 7 Mac hadapan.
Perlawanan berikutnya menyaksikan Selangor akan berhadapan Terengganu FC di tempat lawan pada 11 Mac, sebelum kunjungan ke Alor Setar empat hari kemudian untuk berhadapan juara bertahan Piala FA, Kedah.
Ini bermakna sepanjang Mac ini, skuad kendalian B. Satiananthan harus menempuhi tiga aksi di tempat lawan yang boleh dianggap sukar.