Brendan Rodgers menegaskan bahawa tekanan ‘untuk memenangi semua perlawanan’ merupakan perbezaan yang dirasai oleh beliau ketika mengendalikan Celtic berbanding Liverpool.
Pengendali dari Ireland Utara berusia 44 tahun itu bertanggungjawab membimbing Liverpool selama 4 musim dan hampir menamatkan kemarau panjang pemburuan liga pada tahun 2014.
Bulan Oktober tahun 2015 menyaksikan pakar taktikal itu meninggalkan Anfield dan menyertai Celtic pada Mei 2016 seterusnya mencipta kejayaan bersama kelab barunya itu ketika musim pertama di Glasgow.
“Apabila saya meninggalkan Liverpool, saya memerlukan rehat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Liverpool Echo.
“Persaingan ketika itu begitu sengit. Saya berpindah ke London hanya untuk menjauhkan diri daripadanya.
“Saya mendapat tawaran dari England dan beberapa lagi dari China, di mana tawaran wang ketika itu sangat baik, dan ternyata itu menggoda seorang lelaki dari Ireland Utara (merujuk kepada dirinya).
“Tetapi saya telah keluar dari salah satu kelab terbesar di dunia dan saya terpaksa mencari tekanan itu lagi. Kini saya mendapatkannya (Celtic).
“Dengan Liverpool anda boleh keluar dari rumah dengan memperoleh keputusan seri dan itu ‘OK’. Tetapi di Celtic, anda perlu memenangi setiap perlawanan. Ini merupakan tekanan yang berbeza.”
Musim pertama Rodgers di Scotland
Musim pertama yang indah buat Brendan Rodgers apabila mereka sukar untuk disaingi oleh pasukan lain. Hal ini dibuktikan apabila berjaya meraih kejayaan ‘treble’ tanpa mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan domestik.
Sehingga kini, Rodgers telah mengendalikan 70 perlawanan buat gergasi Scotland itu. Celtic mencatatkan 54 kemenangan dan hanya tewas sebanyak 6 perlawanan.
The Bhoys berjaya menghasilkan 178 jaringan sementara dibolosi dengan 56 gol. Keadaan ini menyaksikan dominasi mereka di Scotland jelas terserlah.
Dalam saingan Liga Scotland, Brendan Rodgers menikmati 37 kemenangan dari 42 perlawanan yang dilalui.
Celtic menjuarai Liga Scotland musim 2016-17 dengan bergaya apabila mencipta rekod tanpa kalah dan turut mencatatkan 106 mata berkelebihan 30 mata berbanding Aberdeen ditempat kedua liga.
Sebanyak 106 jaringan dihasilkan oleh Celtic dalam satu musim manakala gawang mereka hanya dibolosi sebanyak 25 gol.
Bagi saingan Piala Scotland dan Piala Liga Scotland pula, Aberdeen cuba memberikan saingan pada 2 perlawanan akhir tersebut, namun Celtic masih terlalu unggul buat mereka.
Sumber :
Squawka (2017) – http://www.squawka.com/news/pressure-at-celtic-is-different-to-liverpool-says-brendan-rodgers/987635#dr4Mvgygs4kwg75T.97