Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers kelihatan kecewa dengan penyudah kurang berkesan penyerang gantian, Kelechi Iheanacho pada lewat permainan.
Iheanacho yang masuk pada minit ke-80 bagi menggantikan James Maddison terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan selepas hanya melakukan percubaan tersasar hasil lorongan Hamza Choudhury.
Kegagalan pemain muda kelahiran Nigeria itu menyempurnakan peluang telah mencuri perhatian Rodgers pada sidang media selepas perlawanan.
”Dia (Iheanacho) seharusnya menyempurnakan peluang tersebut (menjaringkan gol), saya berkata kepadanya selepas itu, dalam perlawanan besar kita tidak akan dapat banyak peluang sedemikian.”
”Ia sangat ketat. Kami sangat-sangat bagus ketika bertahan. Mereka (Manchester City) tidak dapat mencipta banyak peluang, begitu juga kami.”
”Tetapi apabila satu peluang itu hadir, anda perlu untuk menjaringkan gol. Dia mengetahuinya.”
”Ini adalah detik di mana anda boleh masuk ke dalam permainan dan memberikan impak. Dia merupakan seorang yang hebat, bekerja dengan cukup keras ketika sesi latihan.”
”Itu adalah peluang yang cukup besar buatnya. Bola sudah bersamanya dan berada di kedudukan yang cukup baik. Tetapi ia tidak berhasil,” jelas Rodgers lagi.
Dengan kekalahan 0-1 di Stadium Etihad itu, Leicester City kini mengumpul 51 mata untuk menduduki tangga ke-9 saingan Liga Perdana Inggeris.