5 Perkara Yang Penyokong Celtic Akan Perolehi Daripada Brendan Rodgers

Ketika Brendan Rodgers diperkenalkan kepada penyokong Celtic di Parkhead selepas sah bergelar pengurus baru pada 20 Mei 2016 yang lepas, lebih 10,000 penyokong datang mmeberikan sambutan hangat kepadanya.

Rodgers memberitahu media, beliau boleh sahaja kembali mengurus pasukan Premier League jika beliau mahu. Ini kerana pada hari beliau dipecat, beliau sudah pun mendapat beberapa panggilan dari kelab Premier League.

Beberapa minggu kemudian Swansea pula berhasrat menganjurkan ‘reunion’ dengan Rodgers.

Tetapi Rodgers memberitahu beliau memilih Celtic kerana tradisi dan nilai yang ada pada kelab ini. Cabaran mengurus pasukan yang mempunyai bajet lebih kecil (berbanding kelab Premier League) jauh lebih menarik perhatiannya.

1. Pengurusan bajet pembelian pemain yang baik

Bagi kami, ahli-ahli lembaga pengarah Celtic boleh berbangga dengan perlantikan Brendan Rodgers yang tak asing dengan cabaran mengurus pasukan yang mempunyai bajet pembelian pemain yang terhad.

Beliau pernah membuktikannya di Swansea pada musim 2010/2011 ketika masih bermain di Championship. Scott Sinclair dan Leon Britton adalah dua pemain yang dibawanya dengan bajet kurang £500,000.

Tetapi dalam masa semusim, kedua-dua pemain ini menyumbang 30 gol untuk membantu Swansea dipromosi ke Premier League.

Di Liverpool pula, Rodgers tidak ada autonomi yang banyak ke atas pengurusan bajet pembelian pemain. Ini kerana urusan tersebut dikawal sebuah ‘transfer committee’.

Untuk mengatasi masalah kekurangan bajet pembelian pemain, Rodgers mungkin akan beralih kepada sistem pinjaman pemain.

Jika kita teliti rekod pinjaman pemainnya, ia bersifat ‘hit-and-miss’. Ada yang menjadi dan ada yang tidak.

Ketika di Swansea, pemain pinjamannya seperti Steven Caulker dan Gylfi Sigurdsson merupakan pemain penting yang membantu kelab menduduki tangga ke-11 Premier League pada musim pertama selepas dipromosi.

Tetapi di Liverpool, pemain pinjamannya seperti Aly Cisokho, Nuri Sahin, Javier Manquillo, dan Vitor Moses boleh dikatakan semuanya gagal di Anfield.

2. Taktikal yang menarik

Pada musim sulungnya dalam Premier League bersama Swansea, Brendan Rodgers pernah mengejutkan peminat Premier League dengan menampilkan corak permainan yang menarik dan moden – sesuatu yang jarang dilakukan oleh pasukan yang baru dipromosi.

Ketika itu ramai peminat melabel taktik Swansea sebagai ‘mini tiki taka’. Ini satu pujian untuk Rodgers. Mereka menjadi antara pasukan yang seronok untuk ditonton.

Dari segi formasi, Rodgers bukanlah pengurus yang terikat dengan formasi yang tertentu.

Ketika mengambil alih Liverpool, salah satu jasa besar Rodgers adalah mengubah dan menghakis DNA bolasepak Inggeris yang menebal dalam Liverpool.

Bermula dari era Rodgers hingga kini (Jurgen Klopp), Liverpool kini dikenali sebagai sebuah pasukan bola sepak moden. Tak dapat dinafikan, falsafah bola sepak Rodgers yang moden ketika mengurus Liverpool membantu transisi Jurgen Klopp di Anfield.

Jadi penyokong Celtic boleh menjangka pasukan mereka akan berwajah baru.

Mereka akan melihat pelbagai formasi akan digunakan di Parkhead tetapi identitinya tetap sama – bola sepak menyerang, bertempo tinggi dan berasaskan penguasaan bola yang tinggi.

3. Old Firm Derby yang hangat

Dengan promosi Rangers ke Scottish Premiership pada musim hadapan, perseteruan Old Firm akan kembali dalam kalendar liga bola sepak dunia.

Brendan Rodgers tidak kekok dengan tekanan perlawanan derby. Sebelum ini pun di Liverpool, beliau sudah menikmati atmosfera antara derby terbesar di dunia iaitu North-West Derby menentang Manchester United.

Bagaimana rekod Rodgers dalam North-West Derby agak kurang memberansangkan – cuma menang sekali daripada 7 perlawanan. Selebihnya Liverpool kalah.

Celtic mungkin pasukan yang lebih besar dan mempunyai pemain lebih berkualiti berbanding Rangers.

Tetapi dalam Old Firm Derby, segalanya boleh berlaku – seperti yang dilakukan Rangers ketika menewaskan Celtic semasa separuh akhir Scottish Cup 2016.

4. Kempen UEFA Champions League yang sukar

Rekod Brendan Rodgers di peringkat Eropah tidaklah begitu membanggakan.

Ketika musim sulungnya di Liverpool (2012/2013), beliau hanya mampu membawa Liverpool layak ke pusingan 32 pasukan terakhir. Ketika itu Liverpool disingkirkan oleh Zenit St. Petersburg angkara away goals selepas terikat 3-3 secara agregat.

Pada musim 2014/2015, Rodgers kemudiannya membawa Liverpool layak ke UEFA Champions League .

Tetapi ia bukanlah kempen Eropah yang mahu diingati penyokong Liverpool selepas terkandas di peringkat kumpulan di belakang Real Madrid dan Basel.

Rekod ini perlu sentiasa diperbaiki oleh Rodgers di Celtic.

Dalam saingan domestik, beliau mungkin tidak mempunyai banyak masalah untuk meraih trofi.

Tetapi di peringkat Eropah, beliau perlu mengembalikan malam gemilang di Parkhead – sebagaimana yang pernah dibawa oleh Gordon Strachan (gambar bawah) dan Neil Lennon ketika membawa Celtic ke peringkat 16 pasukan terakhir UEFA Champions League.

Ia tugas yang sukar. Tetapi sebab itulah Rodgers dipilih oleh Celtic. Tugas Eropah Rodgers di Celtic pada musim depan akan bermula dari pusingan ke-2 kelayakan UEFA Champions League.

Jika Rodgers berjaya membawa cabaran Celtic lebih jauh dalam UEFA Chamions League, pada masa yang sama ia akan memberi faedah kepada Scotland juga secara keseluruhannya – dari segi coefficients points Scotland di UEFA.

5. Masa depan bola sepak Scotland yang lebih cerah?

Kejayaan Wales yang layak ke ke EURO 2016 adalah tamparan besar buat Scotland.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai sejarah bola sepak yang cukup kaya dan populasi yang lebih besar, Scotland sepatutnya sudah boleh menghasilkan 23 pemain yang cukup berkualiti untuk membawa Scotland layak ke kejohanan besar.

Jika ketua jurulatih skuad kebangsaan Wales mengharapkan pemain Wales yang bermain di kelab-kelab besar Eropah untuk memberikan persembahan berkualiti, ketua jurulatih skuad kebangsaan Scotland pula mengharapkan benda sama dari Celtic.

Tak keterlaluan untuk kami katakan, prestasi skuad kebangsaan Scotland bergantung kepada prestasi Celtic.

11 pemain kebangsaan Scotland ketika ini bermain di Celtic. Jadi secara tak langsung, sebenarnya masa depan skuad kebangsaan Scotland terletak di tangan Rodgers.

Sasaran utama Scotland seterusnya sudah pastilah layak ke Piala Dunia 2018.

Untuk memastikan cita-cita sukar tersebut dicapai (kerana kali terakhir Scotland layak ke Piala Dunia adalah ketika edisi 1998 di Perancis), Scotland memerlukan bantuan Rodgers.

Kesimpulannya, Celtic boleh dikatakan antara cabaran paling menarik dan terbesar yang akan dilalui Rodgers dalam karier beliau.

Suasana gegak gempita daripada nyanyian lagu You Will Never Walk Alone di Parkhead akan mengiringi Brendan Rodgers dalam cabarannya di Scotland. Persoalannya, adakah beliau akan berjaya?

Baca juga: Sejarah Old Firm Derby: Mengapa Celtic Dan Rangers Bermusuh?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN