Brendan Gan: Kisah Keperwiraan Dalam Bola Sepak Untuk Kita Baca

Pada malam perlawanan akhir Piala Malaysia 2018, Brendan Gan mempamerkan aksi keperwiraan untuk membantu Perak bergelar juara. Gol beliau pada masa kecederaan selepas 90 minit memaksa perlawanan diheret sehingga ke masa tambahan, sekaligus memberikan peluang kepada Perak untuk menewaskan Terengganu dalam penentuan penalti.

Jika kita tidak meneliti sejarah lampau Brendan Gan dan apa yang perlu dilalui beliau dapat mencicip kemanisan bergelar juara ini, mungkin agak keterlaluan untuk mengangkat pemain berusia 30 tahun ini sebagai ‘perwira’.

Tetapi Gan sememangnya berhak. Terutama sekali jika kita meneliti segala kesusahan yang beliau perlu lalui sebelum ini.

Malam final Piala Malaysia 2018

Takdir menentukan perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menemukan dua pasukan yang sedang kemarau piala. Perak yang kali terakhir menjuarai Piala Malaysia 18 tahun lepas beradu kekuatan menentang Terengganu; juara Piala Malaysia edisi 2001. Ironiknya bagi Perak, pada tahun Terengganu bergelar juara itu, mereka merupakan pasukan yang tewas dalam perlawanan akhir tersebut.

Sejak minit pertama perlawanan lagi, nasib seperti memainkan perasaan Perak. Keseiringan realiti perlawanan dengan slogan ‘Kejor Yob Kejor’ yang sinonim dengan pasukan Brendan Gan ini mungkin kedengaran kelakar – tetapi telah menghadirkan ujian kekuatan mental yang dahsyat buat Perak. Tidak pernah sekalipun – sepanjang 120 minit perlawanan – mereka berada di hadapan Terengganu.

Sepanjang malam, Gan berjuang meliputi setiap inci padang. Apabila Perak hilang bola, pemain tengah itu akan turun membantu 4 pertahanan di belakangnya. Apabila Perak kembali mendapat bola, Gan jugalah orang yang akan naik menyertai serangan yang dikepalai oleh Gilmar Filho dan Wander Luiz.

Ketinggalan 1-2 dengan masa perlawanan semakin suntuk disebalik serangan demi serangan yang dilancar, Perak nampak seperti sedang mengintai kekalahan. Penyokong Terengganu sudah mula sukar untuk memadam senyuman di muka mereka. Trofi Piala Malaysia sudah terbayang di mata mereka. Tetapi bak kata orang, bola itu bulat. Apa-apa sahaja boleh terjadi.

Perak mendapat satu lagi peluang serangan. Berpunca daripada hantaran lintang Amirul Azhan di sayap kanan yang mencipta situasi panik dalam kotak penalti Terengganu, Brendan Gan kemudiannya mendapat peluang keemasan untuk membuat percubaan.

Ruang dan masa beliau untuk melakukan sesuatu dengan bola cukup besar. Peluang cuma satu. Jika Gan tidak dapat menyempurnakan peluang tersebut, segalanya akan berakhir buat Perak. 35,000 penyokong Perak akan masing-masing pulang dari Stadium Shah Alam dengan ayat: “Kalaulah Brendan Gan berjaya menyempurnakan peluang tersebut, mungkin kita ada peluang.”

Rakan sepasukan Brendan Gan, Hafizul Hakim dan Idris Ahmad – dua pemain yang melakukan kesilapan yang menghadiahkan 2 gol kepada Terengganu – pastinya akan dihujani kritikan peminat. Hafizul pula mungkin tidak ada peluang untuk menebus kesilapannya dengan menjadi hero dalam penentuan penalti.

Tetapi Tuhan itu Maha Adil dan Maha Mengetahui. Pada satu ketika, anda mungkin mendapat dua kecederaan ACL dari-Nya yang bisa mengancam karier anda. Pada satu ketika yang lain, anda mungkin akan mendapat nikmat bergelar perwira di mata 2.5 juta rakyat Perak dari-Nya. Asalkan anda terus berusaha dan tidak berputus asa dengan pemberian dari-Nya.

Brendan Gan berjaya meledak satu rembatan kencang kaki kiri yang langsung tidak dapat diselamatkan oleh Sufian Abdul Rahman yang cemerlang sepanjang perlawanan.

Euforia. Kebanggaan. Kelegaan. Air muka pemain kacukan Australia-Cina ini seraya berubah ketika ditanya oleh Stanley Bernard tentang makna kemenangan ini kepada beliau selepas perlawanan.

Hatinya gembira. Tetapi emosinya dihurung ribuan perasaan sehinggakan beliau hanya mampu melinangkan air mata. Terharu. Barangkali kerana mengenangkan apa yang beliau perlu korbankan untuk mendapat nikmat bergelar juara.

Kisah perjuangan Brendan Gan

Tak semua pemain seperti Brendan Gan. Hadir dengan reputasi sebagai salah seorang prospek pemain tengah menyerang (no.10) muda A-League, beliau kemudiannya menerima perubahan posisi kepada pemain tengah defensif (no.6). Semuanya demi kepentingan bersama pasukan di Malaysia – pertama, Kelantan sebelum berhijrah ke Perak – yang lebih memerlukan tenaga dan skil teknikalnya dari posisi yang lebih defensif.

Maka tak hairanlah beliau memiliki kemampuan teknikal untuk menjaringkan gol cemerlang seperti malam perlawanan akhir semalam.

Sikap profesionalisme beliau juga disukai ramai. Ketika rakan-rakan sepasukannya yang lain mengeluh tentang perihal hutang gaji di Kelantan, tak pernah sekali pun Brendan Gan merungut secara terbuka.

Ketika Kelantan membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontraknya kerana kecederaan ACL, beliau memilih untuk berdiam diri – semuanya kerana rasa hormat terhadap penyokong Kelantan yang dekat di hatinya. “Saya masih mengikuti pasukan Kelantan walaupun kontrak saya dengan mereka sudah berakhir,” katanya.

“Saya mengharapkan yang terbaik untuk pasukan Kelantan dan penyokong-penyokong mereka. Gomo Kelate Gomo!”

Pada kemuncak prestasinya, gergasi Liga Malaysia, JDT pernah datang melamarnya. Namun beliau memilih untuk kekal bersama Kelantan, walaupun ketika itu kontraknya hanya berbaki sebulan sahaja. “Saya sangat berbesar hati apabila JDT menghubungi saya pada 2014. Tetapi ketika itu saya merasakan masa yang kurang sesuai untuk menukar pasukan dan ‘bandar’,” jelas beliau.

2 kali bertarung ACL

Kecederaan ACL adalah kecederaan yang paling digeruni pemain bola sepak. Kebarangkalian prestasi pemain untuk merosot teruk selepas kecederaan ACL – walau sekali – hingga terpaksa mengakhiri karier mereka, sangatlah besar.

Tetapi bagaimana pula jika pemain mendapat kecederaan ACL sebanyak 2 kali? Bagi kes Brendan Gan, beliau berjaya menangani dan mengakhirinya dengan senyuman.

Kecederaan ACL pertama Brendan Gan berlaku pada tahun 2015 ketika Kelantan menentang ATM.

Diagnosis awal pegawai perubatan KAFA menyatakan kecederaan Gan tidak serius. “Petunjuk awal juga mendapati, dia tidak mengalami kecederaan ligamen lutut atau ACL,” dedah pengurus Kelantan pada ketika itu, Azman Ibrahim. Peminat pada awalnya lega. Namun selepas itu kecewa kerana Gan ternyata mendapat kecederaan ACL.

Brendan Gan mengerang kesakitan selepas tercedera ketika menentang ATM dalam aksi Liga Super 2015. (Foto: Sinar Harian)
Semangat Brendan Gan

Kecederaan itu memaksa Brendan Gan kembali ke Australia untuk menjalani proses pemulihan dengan jurulatih fisioterapi skuad B-23 Australia, Kieran Rooney. Pengikut akaun Instagram beliau sentiasa diberikan kemaskini proses rehabilitasi kecederaan ACL beliau.

Selepas berehat panjang, beliau kembali semula ke pasukan Kelantan. Tetapi 9 bulan kemudian, ligamen lutut Gan terputus sekali lagi. Kali ini dalam tugasan antarabangsa ketika menyarung jersi Harimau Malaya.

Bercakap kepada FourFourTwo, Brendan mengaku kecederaan ACL kali kedua ini membuatkan beliau tertekan dari segi mental.

“ACL kedua ini hampir sama dengan yang pertama. Namun proses pemulihan lebih panjang kerana ada meniskus yang harus diperbaiki,” katanya.

Beliau kemudiannya menambah: “Secara mental, ianya adalah detik paling sukar dalam hidup saya. Jika saya duduk di Malaysia (sepanjang pemulihan) saya boleh jadi gila dan mungkin berhenti bermain bola sepak. Di Australia, saya bertuah sebab ada keluarga, rakan-rakan dan tunang saya yang menyokong saya.”

FAM pada ketika itu pernah menawarkan beliau untuk menanggung kos pembedahan dan rehabilitasi. Tetapi hanya di Malaysia.

“Disebabkan saya cedera ketika tugasan antarabangsa, FAM patut menanggung kos perubatan walaupun di mana sahaja saya berada untuk rawatan,” luahnya pada ketika itu. “Sebagai atlet, anda berhak memilih di mana anda mahu menjalani rawatan. Tetapi saya tak nak merungut kerana saya bukan orang seperti itu.”

Selepas pulih daripada kecederaan ACL buat kali kedua, beberapa pasukan datang melamarnya. Tetapi hanya Perak menunjukkan minat yang serius terhadapnya. Tetapi Gan melihatnya dari sudut lain. Bagi beliau, Perak adalah satu-satunya pasukan yang serius memberikannya peluang kedua untuk menghidupkan kariernya.

Brendan Gan dan Norhakim Hassan turut diperkenalkan pada sidang media semalam.

Di Perak, Gan – seperti dijangka – bergelut dengan isu kecergasan. Bagaimanapun hari demi hari, aksinya kembali tajam hasil kepercayaan Mehmet Durakovic kepada bakat dan kebolehannya.

Pada musim 2018, beliau membantu Perak menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-2 – menyamai kedudukan terbaik mereka dalam tempoh 12 tahun. Pada malam final Piala Malaysia 2018, si perwira ini muncul pemain terbaik perlawanan untuk membantu Perak menjulang piala pertama mereka sejak 2004.

Tahniah Brendan Gan. Kisah inspirasi anda akan kami ingati sebagai bahan motivasi untuk tidak sesekali mengalah dalam perjuangan – fizikal atau mental.

Sebagai peminat bola sepak, premis perjuangan seperti ini sangatlah kami hargai, sama seperti perjuangan Brendan Gan dan rakan-rakannya pada malam final. 2 kali mereka menafikan kejuaraan Terengganu pada saat-saat akhir. Selagi lagi wisel penamat belum ditiup, selagi itulah perlawanan belum berakhir.

Inginkan kediaman sempurna untuk bintang masa depan anda?

Adakah anda sedang mencari rumah yang mempunyai ruang luas untuk anak anda bermain dengan bolanya?

Adakah anda sedang mencari rumah yang berdekatan dengan stadium, kompleks sukan, sekolah dan akademi bola sepak untuk anak anda?

Jika ya, teres dua tingkat di Seremban berkonsepkan moden inilah yang anda cari!

Dengan keluasan 2,988 kps, lengkap dengan 4 bilik dan 4 bilik air, Irama Residensi SIGC memberikan anak-anak anda ruang yang selesa untuk mengasah skil ball mastery mereka.

Terletak strategik dan berdekatan dengan Stadium Paroi (1km), Kompleks Sukan Paroi (1.5km), Padang Bola Lorong Nuri 2 (1km), Sekolah Kebangsaan Paroi (2km), Pusat Tunas NFDP Negeri Sembilan (5km) dan Inspire Budakbola Junior Academy (10km), anak anda tidak akan terlepas daripada aktiviti-aktiviti pembangunan akar umbi bola sepak Negeri Sembilan yang sentiasa aktif!

Irama Residensi SIGC juga terletak berdekatan dengan Plaza Ampangan (3km), KIP Mart Senawang (6km), Giant Senawang (7km), Mydin Senawang (8km), Tesco Seremban Jaya (8km), Senawang Specialist Hospital (6km) dan Hospital Tuanku Jaafar (10km).

Akses ke Lembah Klang juga menjadi mudah dengan kewujudan lebuhraya seperti Plus dan LEKAS.

KLIK pautan di bawah untuk mula memohon kediaman ini sekarang!

⚽ Irama Residensi SIGC
⚽ Irama Residensi SIGC
⚽ Irama Residensi SIGC

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN