Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad, sebelum ini menyatakan bahawa pemergian Brendan Gan akan dirasai oleh pasukan Perak.
Namun itu tidak bermakna mereka tidak mampu menggantikan pemain tersebut.
Shahrul Saad yakin mereka akan menemui pengganti Brendan Gan secepat mungkin iaitu pada musim 2020.
Gan memutuskan untuk menyertai Selangor pada musim 2020. Ini selepas Perak dan Gan gagal mencapai kesepakatan dalam kontrak lanjutan.
Brendan Gan mahukan cabaran baharu di dalam kariernya. Dan beliau berterima kasih dengan pengrusan Perak FA, Mehmet Durakovic serta para penyokong Perak yang sentiasa menyokong kariernya sepanjang beliau di sana.
Shahrul Saad, pula optimis bahawa para pemain muda akan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Brendan Gan.
Shahrul Saad memberitahu Stadium Astro: “Saya rasa ada yang mampu menggantikan Brendan, terutama pemain muda.”
Shahrul kemudian memberitahu, ada hikmah di sebalik pemergian Brendan Gan. Misalnya, memberikan ruang kepada para pemain muda untuk menyerlah.
Beliau menganggap perpindahan pemain adalah asam garam dalam bola sepak. Dan beliau memberikan jaminan bahawa, para pemain Perak akan sentiasa berjuang.
“Ada hikmah, mereka akan mengambil cabaran ini dan saya sangat yakin dengan semangat yang ditunjukkan, mungkin mereka akan lebih menyerlah daripada Brendan.”
“Bagi saya juga, keluar masuk (penghijrahan) pemain ini adalah perkara biasa untuk setiap pasukan.”
“Kami sentiasa positif, kami masih lagi bersama Perak dan kami akan terus berjuang.”
Perak musim hadapan turut akan diperkuatkan oleh bekas penyerang Kuala Lumpur iaitu Guilherme De Paula. Shahrul Saad gembira dengan kehadiran pemain itu memperkuatkan pasukan Perak.