Jurulatih Brazil Tegaskan Tiada Unsur Dendam Terhadap Jerman, Mahu Cari Pingat Emas Pertama

Sehingga kini, kekalahan skuad Brazil ketika menentang Jerman di separuh akhir Piala Dunia FIFA 2014 masih menjadi igauan seluruh rakyat Brazil.

Mana tidaknya, mereka tewas 7-1 dan Jerman mendahului 5-0 hanya selepas 45 minit pertama sahaja!

Dan sampai sekarang, keputusan itu masih menjadi bahan lawak jenaka peminat pasukan-pasukan lain kepada para peminat pasukan Brazil.

“Tiada dendam antara kita.”

Menjelang perlawanan pingat emas bagi acara bola sepak lelaki, Brazil akan bertemu Jerman di Stadium Maracana.

Bagi rakyat Brazil, ini peluang terbaik mereka untuk pasukan mereka ‘membalas dendam’ dan seterusnya mematikan ‘lawak jenaka’ yang selama ini dilemparkan kepada mereka.

Namun bagi jurulatih Brazil, Rogerio Micale (gambar bawah), beliau mempunyai sudut pandang yang berbeza.

Beliau menegaskan bahawa pasukannya bukan bermain di perlawanan pingat emas ini untuk membalas dendam pasukan senior ketika Piala Dunia FIFA 2014.

Tetapi Micale tidak menolak kenyataan bahawa perlawanan menentang Jerman ini telah membuka kembali luka lama yang dialami skuad Samba itu.

“Kami mengaku yang kami masih terluka dengan kekalahan ketika Piala Dunia FIFA 2014.”

“Tetapi cabaran kami untuk memenangi pingat emas pertama dalam acara bola sepak lebih tinggi dari keinginan untuk membalas dendam diatas kekalahan itu.”

Sudut pandang Micale itu ada juga logiknya, punca mengapa beliau berkata sedemikian kerana skuad yang beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016 ini adalah skuad yang amat berbeza dengan skuad yang dibelasah teruk 2 tahun lepas.

“Itu skuad Piala Dunia FIFA, ini pula skuad Sukan Olimpik.”

“Neymar yang ada ketika itu pun tidak bermain menentang Jerman, jadi mana mungkin perasaan dendam itu wujud. Ia waktu yang berbeza dengan skuad yang berbeza.”

Untuk rekod pasukan Brazil dan Jerman tidak pernah memenangi pingat emas dalam acara bola sepak di Sukan Olimpik.

Brazil hanya mengutip pingat perak ketika temasya di Los Angeles (1984), Seoul (1988) dan London (2012).

Dan Brazil mengutip 2 pingat gangsa dari acara ini ketika temasya di Atlanta (1996) dan Beijing (2008).

Manakala Jerman hanya mengutip pingat gangsa ketika di Sukan Olimpik Seoul (1988).

Sukan Olimpik bukanlah keutamaan bagi Jerman

Meskipun berjaya ke perlawanan pingat emas, jurulatih Jerman menegaskan bahawa pasukannya tidak meletakkan sasaran tinggi dalam acara bola sepak.

Hal ini kerana pada mulanya pasukan-pasukan di Bundesliga tidak mahu melepaskan pemain-pemain utama mereka untuk ke Sukan Olimpik Rio.

Untuk acara bola sepak lelaki di Sukan Olimpik, pasukan bertanding adalah pasukan bawah-23 tahun dengan 3 pemain melebihi had umur.

Dan 3 pemain melebihi had umur yang mewakili skuad bawah-23 tahun Jerman cuma mempunyai 26 cap bersama skuad senior Jerman antara mereka.

Mereka adalah adik beradik Sven dan Lars Bender (Borrusia Dortmund & Bayer Leverkusen) serta Nils Petersen (SC Freiburg).

Ia berbeza dengan skuad Brazil yang mempunyai 3 pemain melebihi had umur yang mempunyai 81 cap bersama skuad senior Brazil antara mereka bertiga.

Mereka adalah Neymar (Barcelona), Renato Augusto (Beijing Guoan) dan Weverton (Atletico Paranaense).

Bagi jurulatih Jerman, Horst Hrubesch (gambar bawah), pemainnya tidak gentar dengan lautan peminat Brazil yang menanti mereka di Maracana.

Sebaliknya mengajak pemain-pemainya untuk berseronok beraksi di hadapan ribuan peminat yang hadir.

“Tiada pengalaman yang lebih menarik untuk pemain-pemain muda ini beraksi di hadapan 80,000 orang penonton di Stadium Maracana dalam perlawanan pingat emas Sukan Olimpik.”

Bagi Hrubesh, berjaya mara ke perlawanan pingat emas adalah satu pencapaian yang baik bagi skuadnya.

“Berjaya mara ke perlawanan pingat emas sudah boleh dikatakan kami sudah pun berjaya. Jadi sekarang ini kami cuba untuk memenanginya pula.”

Jurulatih Jerman itu menafikan perlawanan pingat emas menentang Brazil ini adalah perlawanan dendam antara kedua-dua pasukan.

“Ini adalah perlawanan pingat emas Sukan Olimpik. Ia adalah pasukan yang berbeza dan kami di sini adalah untuk mencapai matlamat kami (mendapatkan pingat emas).”

Brazil akan bertemu Jerman dalam perlawanan pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan Olimpik Rio pada pagi Ahad jam 4.30 pagi waktu Malaysia.

Baca juga: Pemain Brazil Dedahkan Realiti Bola Sepak Wanita: Kami Hanya Dapat Sisa Makanan Pemain Lelaki

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN