Perlis meneruskan proses pemulihan prestasi mereka di bawah Syamsul Saad apabila menewaskan MISC-MIFA 3-1 dala satu perlawanan menarik di Stadium MBPJ petang tadi.
Turun dengan formasi 4-1-3-2, Perlis jelas menguasai sebahagian besar perlawanan berbanding pasukan tuan rumah. Lebih mengagumkan, Perlis juga melakukannya dengan hanya menurunkan 1 pemain import, Brandon Adams berbanding MIFA yang tampil dengan 3 pemain import.
MIFA pula turun dengan sistem kebiasaan Jacob Joseph, 4-2-2-2. Penyerang kelahiran Mesir, Mohammed Talaat bergandingan dengan Michael Chukwubunna di bahagian serangan sambil dibantu oleh Bodric Dimitri dan Ooi Shee Keong di bahagian sayap.
Separuh masa pertama rancak
Seawal minit 1′, Perlis memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila Brandon Adams memanfaatkan perangkap ofsaid MIFA yang gagal untuk menjaringkan gol pertama Perlis.
Tersentak dengan gol awal pasukan pelawat, MIFA cuba bagkit menyerang Perlis. Sebaliknya kelekaan benteng pertahanan MIFA didedahkan sekali lagi oleh Adams untuk menjaringkan gol ke-2 pada minit 11′.
Sifat tekad MIFA untuk menyerang perlu dipuji. Tetapi masalah utama mereka adalah jentera serangan seolah-olah terpisah dengan jentera tengah dan pertahanannya. Pemain-pemain import pula seolah-olah tidak menyedari kewujudan pemain tempatan.
Dalam erti kata lain, MIFA tidak bermain seperti sebuah pasukan.
Serangan bertali arus MIFA akhirnya membuahkan hasil apabila pengadil menghadiahkan penalti hasil kekasaran pertahan Perlis. Bodric Dimitri tiada masalah menyempurnakannya pada minit ke-18.
Perlis tidak mengalah. Sekali lagi pada minit ke-24′, kelekaan benteng MIFA ketika mempertahankan benteng semasa sepakan sudut menghadiahkan peluang buat Famirul Asraf untuk menjaringkan gol ke-3 Perlis.
Kedudukan kekal 3-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
MIFA bangkit
Masuk separuh masa kedua, majoriti penguasaan bola bertukar menjadi milik MIFA.
Barangkali panik diserang bertubi-tubi pasukan tuan rumah, Perlis mula menjadi kelam-kabut mengeluarkan bola di kawasan kubu sendiri. Ini menyebabkan MIFA mudah menguasai perlawanan.
Usaha MIFA membuahkan hasil pada minit 72′. Bermula daripada kesalahan dalam kotak penalti yang dilakukan oleh Nasril Nordin, pengadil menghadiahkan penalti kedua buat MIFA dan kad merah untuk Nasril.
Dimitri kemudiannya tiada masalah untuk menyempurnakan penalti itu. Ini adalah gol ke-11 dalam kempen 100Plus Liga Premier 2017 buat Dimitri.
Menyedari mereka bermain dengan kurang 1 pemain, Perlis mula mengaktifkan pelan B mereka – bertahan, bertahan dan bertahan. Misi mereka mudah: mempertahankan kelebihan 1 gol dan pulang ke Perlis dengan 3 mata.
Pujian harus diberikan kepada 4 barisan pertahanan Perlis. Aliff Jamaluddin, Nasharizam Abd Rashid (bek tengah), Khairi Kiman (bek kiri) dan Che Mohd Safwan (bek kanan) adalah hero Perlis pada petang tadi.
Meskipun diasak bertubi-tubi dengan pasukan kekurangan 1 pemain, keempat-empat pemain ini berjaya meminimumkan impak Chukwubuna, Dimitri dan Talaat.
Kredit gambar: Arena Bolasepak Perlis
Pemain terbaik perlawanan: Brandon Adams (Perlis)