Hari penuh kejutan daripada pasukan Asia Tenggara. Beberapa jam selepas pasukan B-23 Vietnam mengejutkan Qatar untuk mara ke final Piala AFC B-23, giliran kelab ASEAN bernama Ceres Negros pula mengejutkan kelab gergasi Australia, Brisbane Roar.
Dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan semalam, Ceres Negros menewaskan Brisbane Roar dengan jaringan 3-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Australia.
Pemain yang hampir menyertai Melaka musim lalu, Omid Nazari antara bintang yang membantu kelab Filipina itu menempah kemenangan bersejarah.
Massimo Maccarone meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-35. Namun ia telah dibalas dengan 2 gol oleh Bienvenido Maranon pada minit ke-42 dan ke-65.
Ketika sedang ghairah memburu gol, Brisbane Roar dikejutkan dengan jaringan ketiga oleh Omid Nazari pada minit ke-75. Eric Bautheac merapatkan jurang pada minit ke-86 namun Brisbane tidak mampu menyamakan kedudukan.
Bekas pemain kebangsaan Australia dan penjaga gol Manchester United, Mark Bosnich menyifatkan segala yang berlaku di dalam perlawanan tersebut adalah memalukan untuk Australia.
Aksi di padang yang memalukan dan kalah di tangan pasukan bukan pilihan seperti Ceres Negros. Lebih teruk, beberapa baju pemain ada masalah dengan nombor jersi yang tertanggal dan ada yang ditampal pita pelekat.
“Apa yang berlaku pada jersi Brisbane Roar adalah memalukan.”
“Pertama sekali kita harus ucapkan tahniah kepada Ceres Negros. Rasanya mereka memang berhak menang. Mereka bermain baik dan anda lihat betapa bermaknanya kemenangan ini kepada mereka ketika perlawanan berakhir tadi. Dan kita harus ucapkan syabas kepada mereka.”
“Komen saya untuk Brisbane Roar atas apa yang berlaku malam ini, saya cuma nak kata, kepada sesiapa (penonton Australia) yang bersama kami menonton perlawanan ini, mewakili bola sepak Australia, saya meminta maaf, kerana ia memang memalukan.”
“Saya dah katakan tadi, saya ucap tahniah kepad Ceres Negros kerana perlawanan ini lebih bermakna bagi mereka untuk menangi. Dan pasukan kita pula, biarkan kisah nombor jersi itu yang bersuara untuk mewakili makna perlawanan ini
kepada Brisbane.”
Bosnich menyifatkan Brisbane tidak cukup serius dan terlalu yakin dalam perlawanan ini. Ianya digambarkan dengan sikap ‘kitman’ mereka yang menyediakan jersi dengan set nombor ‘murahan’ dan tak berkualiti.
“Jika anda tak mahu bertanding dalam sesuatu pertandingan, sila tarik diri awal awal daripada memaksa kami menyaksikan benda yang memalukan seperti ini.”
“Saya tak mampu nak cakap apa-apa, tarik dirilah awal-awal sebab saya tidak pernah nampak benda yang lebih memalukan dari ini dalam hidup saya.”
“Tidak juga ketika saya bermain di peringkat junior, bawah 10 tahun. Apa yang berlaku hari ini sangat mengarut.”
“Lihatlah mereka (Ceres), betapa bermaknanya pertandingan ini kepada mereka. Mereka mahu beraksi dalam kejohanan tertinggi di Asia ini.”
“Beberapa hari lalu, saya bercakap dengan rakan saya di AFC dan memberitahu dia yang saya sangat teruja dengan pertandingan ACL ini. Sekarang ini, saya perlu hubungi dia dan meminta maaf.”
“Ini kerana, dia pernah beritahu saya yang Australia seakan-akan tidak cukup teruja untuk menyertai pertandingan anjuran AFC. Seolah-olah kita menghantar isyarat bahawa, apa yang kami boleh dapat daripada pertandingan seperti ini?”
“Dan saya berkata dengan dia, kita (Australia) sebenarnya bukan begitu.”
“Namun selepas menyaksikan apa yang berlaku hari ini, rasanya beliau betul. Memalukan.”