Bosan Perlawanan Ditangguhkan, Watford Main Football Manager 2020

Ekoran penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia, acara sukan di seluruh dunia termasuk bola sepak turut terjejas.

Itali paling teruk terjejas selepas merekodkan lebih 1,000 kematian setakat ini. Seluruh rakyat Itali kini berada di bawah arahan berkurung.

Beberapa pemain bola sepak dan pengurus turut dijangkiti. Pengurus Arsenal Mikel Arteta dan pemain Chelsea, Calum Hudson-Odoi adalah antara yang terawal di England.

Ekoran perkembangan terbaru ini, Liga Perdana Inggeris (EPL) turut menerima nasib yang sama seperti Serie A dan La Liga apabila ditangguhkan sehingga 3 April akan datang.

Perkembangan terbaru ini juga bermakna kebanyakan kelab mengambil pendekatan menutup terus pusat latihan masing-masing, dan pemain yang menunjukkan simptom diasingkan untuk kuarantin.

Tugasan team media

Menjelang hari perlawanan, selain daripada skuad utama, antara unit yang boleh dianggap sibuk dan banyak kerja di dalam sesebuah kelab adalah team media masing-masing.

Antara tugasan mereka adalah untuk menyediakan senarai pemain di dalam bentuk grafik sebagai hebahan. Begitu juga dengan setiap kejadian ketika perlawanan.

Malah tugasan mereka sebenarnya bermula sebelum perlawanan, dengan membawa berita-berita terkini daripada jurulatih untuk hebahan kepada penyokong masing-masing.

Selepas perlawanan, mereka juga perlu mendapatkan reaksi daripada jurulatih, pemain, dan melakukan cerapan kepada insiden ketika perlawanan sekiranya ada.

Menang atau kalah, satu perkara yang pasti petugas media perlu memastikan media sosial mereka mempunyai kandungan atau content yang informatif, dan mampu menarik perhatian penyokong dan pemegang taruh.

Bolehlah kita katakan, team media sesebuah pasukan akan menjadi yang pertama turun padang, dan juga yang terakhir keluar dari tugasan selepas selesai satu-satu perlawanan. Demikianlah sedikit sebanyak rutin petugas media untuk kelab.

Kerana sudah bosan

Jika anda menjelajah ke mana-mana media sosial milik kelab di Eropah, anda akan melihat masing-masing telah melakukan kemaskini bagaimana untuk mencegah penularan wabak Covid-19 ini.

Kelab Liga Perdana Inggeris, Watford tidak terkecuali, namun kandungan oleh pasukan media mereka sepanjang tempoh penangguhan liga tidak hanya terhad kepada Covid-19.

Ini kerana pasukan media Watford tampil dengan idea menarik untuk melakukan simulasi perlawanan menentang Leicester City di permainan Football Manager 2020.

Perlawanan tersebut sepatutnya berlangsung pada hujung minggu ini tetapi telah ditangguhkan.

Klip selama lima minit perlawanan tersebut turut dikongsikan sebagai pengisian di media sosial mereka.

Walaupun sekadar simulasi, ia berjaya menarik perhatian penyokong mereka. Apatah lagi simulasi tersebut turut disulami oleh drama ketika perlawanan.

Watford yang beraksi di Vicarage Road terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Etienne Capoue dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras kepada pemain lawan.

Lebih memburukkan keadaan, Marc Albrighton memberikan pendahuluan buat pasukan pelawat yang menewaskan Ben Foster dengan rembatan deras kaki kiri.

Mujurlah pada minit terakhir perlawanan, rembatan deras oleh Roberto Pereyra memberikan satu mata buat Watford.

Sehingga artikel ini ditulis, muat naik di Twitter telah mendapat lebih 10,000 reaksi suka, dan 15,000 ulang ciapan.

Hanya dengan satu idea mudah, Watford berjaya melakukan kerja fans engagement berkesan bersama penyokong-penyokong mereka di seluruh dunia!

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Watford:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN