Bekas ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez difahamkan sedang menimbangkan hasrat untuk kembali ke Liga Malaysia setelah mendapat tawaran daripada sebuah pasukan Liga Super.
Menurut laporan daripada portal bolasepak Indonesia Bolalob, Mario Gomez mengakui bosan dengan sikap pengurusan kelab yang dilatih olehnya, Persib Bandung yang dilihat tidak menghargai prestasi kerjanya.
Oleh sebab itu, timbul rasa tawar hati dan beliau kemungkinan akan meninggalkan kelab tersebut dan kembali ke Malaysia jika pengurusan kelab ‘Maung Bandung’ itu tidak menaikkan gajinya.
Difahamkan, Gomez akan bertolak ke Malaysia untuk berbincang dengan salah satu kelab Liga Super selepas saingan Liga Indonesia direhatkan seketika untuk memberi laluan kepada temasya Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung minggu hadapan.
“Setelah melawan Mitra Kukar, kami ada waktu cuti, mungkin saya akan pergi ke Malaysia untuk bertemu pengurusan pasukan disana. Saya menghargai kontrak bersama Persib dan mahu melanjutkan kontrak kerja di sini, tapi kalau pihak pengurusan sendiri tidak sambung kontrak, saya akan pergi.
“Jika pihak pengurusan ingin menaikan gaji dan kontrak saya mungkin disambung satu tahun, dua tahun, atau tiga tahun,” katanya seperti dipetik dalam tribunnews.
Mario Gomez kini sudah tujuh bulan membimbing Persib Bandung dan permintaannya untuk naikkan gaji agak munasabah jika dilihat pada bilangan penaja, penjualan tiket yang laris dan hak siaran televisyen.
“Kelmarin stadium penuh, penaja banyak dan tayangan televisyen, pihak pengurusan dapat menjana banyak wang, tapi mereka membayar saya dan pemain dengan gaji yang sangat sedikit, bonus juga kecil untuk kita dan pemain,” katanya.
Walaubagaimanapun, Gomez mengakui berat hati untuk meninggalkan Persib Bandung kerana sokongan padu yang diberikan oleh para penyokongnya.
“Kami sebenarnya tidak mahu pindah, kami suka di sini, saya suka Indonesia, suka Bandung dan cinta sama bobotoh (penyokong persib), tetapi kalau gaji kecil, bonus kecil dan kemudahan latihan pun tidak ada, mungkin kami akan pergi,” tegasnya.