Kali terakhir kedua-dua pasukan dipertemukan adalah pada saingan Super Cup pada 5 Ogos yang lalu dan menyaksikan sekali lagi Borussia Dortmund gagal menundukkan seteru utama apabila sekadar terikat kedudukan 2-2.
Minggu ini, sekali lagi mereka dipertemukan dan kali ini dalam saingan liga. Meskipun mampu mencatatkan kemenangan di laman sendiri ke atas Bayern Munich pada saingan musim 2016/17 yang lalu, namun rekod pertemuan kedua-dua pasukan jelas memihak Bayern, sekaligus meletakkan Bayern sebagai kuasa bola sepak di Jerman.
Pertembungan Lewandowski – Aubameyang
Lewandowski yang sebelum ini dikeluarkan pada separuh masa pertama dan digantikan dengan Arturo Vidal pada perlawanan menentang RB Leipzig hampir pasti sekali lagi diturunkan.
Beliau bakal bergandingan dengan James Rodriguez yang mempamerkan persembahan yang baik pada perlawanan itu dan telah dipilih sebagai pemain terbaik untuk match week 10.
Kedua-dua rangkaian ini turut meledak seterusnya menundukkan Leipzig dengan jaringan 2-0 di Allianz Arena. Sudah pasti jutaan penyokongnya menagih sentuhan magis Lewandowski tatkala mereka sangat merindukan Thomas Muller yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan panjang.
Sementara itu, Aubameyang yang gagal mencetak sebarang gol pada perlawanan terakhir bertemu Hannover dilihat tidaklah memberi impak negatif apabila selepas 10 perlawanan liga, beliau masih mampu meledak 10 gol.
Diharap dengan bantuan pemain muda, Christian Pulisic, beliau mampu memburu gol di Signal Iduna Park.
Christian Pulisic vs Arjen Robben
Pemain muda yang sedang meningkat naik, Pulisic yang sudah pun melepasi 80 perlawanan bersama Dortmund dilihat semakin matang meskipun baru sahaja berusia 19 tahun.
Pemain ini seakan memiliki corak permainan yang sama dengan Robben melalui aksi larian deras dari bahagian sayap dan mampu menewaskan 2-3 pemain menerusi larian solonya.
Ditambah dengan ancaman awal ketika pertemuan pertama di dalam perlawanan Super Cup apabila beliau berjaya meledak satu gol dan sudah pasti tumpuan pasti terarah kepada pemain berjersi 22 ini untuk memusnahkan dominasi Bayern dalam saingan liga domestik.
Prestasi semasa
Dortmund jelas bergelut untuk mengekalkan prestasi apabila sekadar mengutip 1 mata dari 3 perlawanan liga, berbanding Bayern gah dengan 9 mata hasil dari 3 kemenangan berturut-turut.
Sekadar meraih 1 mata ketika aksi di pentas UEFA Champions League bertemu kelab kerdil Apoel Nicosia meletakkan lagi tekanan yang tinggi buat Peter Bosz yang kini sudah mula menerima kritikan apatah lagi pasukan ini sudah melepaskan 11 gol dari 10 perlawanan liga.
Berbeza dengan pengendali Bayern, sebaik Heynckes mengambil alih tempat Carlo Anchelotti pada awal Oktober lalu, Bavarians menang 6 perlawanan berturut-turut (kesemua pertandingan) dan masih tidak dibolosi dalam saingan liga.
Dari aspek ini, penilaian dan pemilihan untuk meraih 3 mata sedikit memihak pasukan pelawat Sabtu ini, ditambah dengan keupayaan Bayern yang dilihat sudah mula meraih gelaran pendahulu liga selepas 10 perlawanan.
Kesimpulannya, satu perlawanan yang crucial buat tuan rumah Dortmund untuk memintas Bayern seterusnya bergelar pendahulu liga pada aksi minggu ke-11.
Namun begitu, sekiranya tewas, pasukan ini bakal tercicir mata dan berisiko turun ke tangga ke-5.
Walaubagaimanapun, bukan satu tugas yang mudah buat Dortmund meskipun turun sebagai tuan rumah, mereka perlu berhadapan reputasi besar yang dibawa Heynckes tatkala prestasi Dortmund yang sedikit terumbang-ambing.
Kesimpulan
Mampukah anak-anak buah Peter Bosz memadam kenangan manis Heynckes ketika berjaya menewaskan Dortmund di pentas akhir UEFA Champions League 2013?
Itulah kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu di bawah kendalian Jupp Heynkes dan pada musim 2012/2013 itu, Bayern berjaya menggondol 4 kejuaraan termasuklah UEFA Champions League.
Jangan lupa temu janji “Der Klassiker” kita awal pagi Ahad ini. Selamat menonton!