Pasukan gergasi Indonesia iaitu Borneo Samarinda nampaknya tampil dengan persediaan cukup rapi untuk mengharungi saingan kedua ACC Shopee Cup hari ini berdepan Kuala Lumpur City (KL City).
Reputasi semasa jelas menyaksikan Borneo berada pada tahap cukup menyakinkan menerusi kualiti pemain serta keputusan direkodkan mereka pada persaingan Liga 1 Indonesia.
Catatan semasa menyaksikan pasukan itu belum mencatat sebarang kekalahan lagi pada musim ini di saingan tersebut dengan merekodkan empat kemenangan serta dua seri daripada enam perlawanan.
Kedudukan semasa juga menyaksikan kini mereka di tangga kedua liga dan hanya dibezakan dua mata oleh pendahulu iaitu Persebaya.
Menerusi momentum tersebut ianya bakal dijadikan sebagai motivasi terbaik pasukan itu untuk menghadapi cabaran KL City biarpun beraksi di gelanggang lawan.
Malah, pasukan itu turut melaungkan keyakinan tersendiri untuk meraih keputusan positif pada aksi tersebut walaupun mengakui KL City memiliki barisan pemain berkualiti untuk memberi ancaman kepada mereka.
“Saya sudah melakukan analisis mengenai corak permainan mereka dan apa yang boleh saya katakan bahawa kami sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik.
“Secara jujur, saya harap barisan pemain tidak terlalu mengikut rentak pasukan lawan dan kekal bermain dengan cara permainan sendiri seperti sebelum ini.
“Mengenai keputusan, saya tidak kisah jika kami meraih kemenangan atau keputusan seri tetapi apa yang penting pasukan dapat beraksi dengan baik,” kata beliau menerusi perkongsian Kosmo.
Pada masa sama, Huistra turut mengakui mereka bakal menggunakan kekuatan lima import untuk berdepan wakil dari Malaysia itu hari ini.
“Kami ada lapan pemain import tetapi hanya lima yang boleh diturunkan. Saya harap semua pemain bersedia sepenuhnya untuk berikan yang terbaik nanti,” katanya lagi.
Antara pemain import dijangka bakal dipertaruhkan Huistra pastinya terarah kepada penyerang berbisa dari Brazil iaitu Leo Gaucho yang sudah pun meledak lima gol daripada tujuh penampilan semasa di saingan Indonesia.
Malah, Gaucho juga sudah pun merekodkan dua jaringan peribadi dalam saingan ACC Shopee Cup sewaktu pasukan itu mudah mengatasi cabaran wakil Singapura, Lion City Sailors menerusi keputusan 3-0.