Quantcast

BERITA

Borneo FC Umum Mario Gomez Sebagai Ketua Jurulatih Baharu

Borneo FC akhirnya menamatkan spekulasi Ketua Jurulatih baharu pasukan Liga 1 Indonesia itu apabila mengumumkan secara rasmi Mario Gomez sebagai pengendali baharu mereka.

Gomez bukanlah jurulatih yang asing di negara jiran Indonesia. Dijadualkan akan terbang ke Indonesia pada hari ini, jurulatih kelahiran Argentina itu sinonim dengan keupayaan beliau memimpin Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala AFC pada 2015.

Perlantikan Gomez adalah bagi menggantikan Fabio Lopez yang dipecat oleh kelab tersebut sebelum ini setelah tersingkir dari pertandingan Piala Presiden 2019.

Ini bukan kali pertama Gomez bergelar jurulatih di Indonesia. Sebelum ini jurulatih berusia 62 tahun itu pernah bersama Persib Bandung dan membantu pasukan itu mengakhiri saingan Liga 1 di kedudukan keempat pada musim lalu.

Selain daripada JDT, Mario Gomez turut pernah bergelar pengendali South China dan turut pernah dicanang sebagai calon Ketua Jurulatih Harimau Malaya satu ketika dahulu.

“Saya ucapkan selamat datang untuk Mario Gomez, selamat bergabung [bergandingan] di Borneo FC dan semoga bisa [mampu] membawa klub ini semakin lebih baik,” ujar presiden Borneo FC Nabil Husein Said Amin kepada media di Indonesia.

Secara kebetulan, perlawanan pertama kendalian Mario Gomez untuk Borneo FC adalah berhadapan bekas kelabnya, Persib Bandung di peringkat suku akhir Piala Indonesia. Gomez dijangka akan terus mulai menjalani latihan bersama skuad Borneo FC pada hari esok.

Sebelum ini Mario Gomez turut mendedahkan telah dihubungi oleh kelab yang beraksi di Liga Super Malaysia pada Mac lalu.