Kelmarin, Arsenal berjaya menamatkan rentetan kekalahan yang dihadapi apabila mencatat kemenangan 2-0 pada peringkat 16 terbaik Liga Europa ketika bertemu AC Milan di San Siro.
Kemenangan itu mengenepikan tanggapan awal banyak pihak bahawa kelab dari London itu akan menjadi mangsa AC Milan yang semakin mempamerkan kebangkitan sejak akhir-akhir ini.
Namun begitu, ia jadi sebaliknya apabila Arsenal mudah menewaskan AC Milan dan Kapten pasukan itu, Leonardo Bonucci mengakui pasukannya terlalu gugup ketika menentang skuad bimbingan Arsene Wenger itu.
Menurutnya, faktor itu menjadi punca mengapa mereka gagal menterjemahkan segala taktikal dan strategi yang diajar dalam latihan sehingga tewas buat kali pertama selepas 13 perlawanan.
“Kami tidak tampil dengan mentaliti yang betul sejak awal permainan.
“Milan beraksi dengan gugup, takut seperti kami baru sahaja memulakan karier dalam bola sepak. Kami perlu belajar daripada kesilapan ini.
“Kami menyedari sukar untuk mengejar perlawanan ini tetapi kami akan mencuba. Apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak dan kami akan cuba untuk kekal positif,” kata pemain pertahanan itu.
Sementara itu, pengendali Milan, Gennaro Gattuso yang pernah menjulang tujuh gelaran Eropah itu berkata, pasukannya tidak mempunyai pilihan sebaliknya perlu memikirkan cara untuk menang di Stadium Emirates pada perlawanan kedua, seminggu lagi.
“Arsenal sedang mengharungi tempoh sukar tetapi mereka tetap pasukan hebat. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan,” ujarnya.