Jerman berjaya menjulang 2 Piala dalam tempoh kurang 72 jam. Kami senaraikan 7 perkara yang kami dapat perhatikan dalam bola sepak Jerman yang ada.
1. Ball-playing keeper
Jerman kali ini mengekalkan sistem ball-playing keeper di dalam pasukan mereka. Sistem yang sama dimainkan oleh pasukan B-21 mereka ketika Euro B-21 yang lepas.
Jadi, kita dapat rumuskan yang mereka bermain satu sistem yang sama walaupun di dalam aspek penjaga gol. Ini akan memudahkan mereka dalam menggantikan penjaga gol yang mungkin cedera atau digantung tanpa menjejaskan sistem.
2. Jerman lebih yang lebih fizikal
Pada satu ketika dahulu pasukan Jerman memang dikenali dengan bola sepak yang fizikal gaya Jerman. Namun sejak mereka memegang falsafah Juego di Posicion, aspek itu semakin berkurangan.
Dalam Piala Konfederasi kali ini mereka nampak lebih fizikal dengan pemain seperti Goretzka, Can dan Rudy di tengah. Arturo Vidal sendiri berkata:
“Pasukan Jerman kali ini lebih cergas (fit) dan lebih fizikal berbanding dengan beberapa pemain yang berehat.”
Sebelum final Euro B-21 yang lalu, Max Meyer memberitahu wartawan yang mereka akan bermain sedikit fizikal dengan pasukan lawan. Taktikal yang mirip kepada gaya Jerman satu ketika dahulu.
Dalam final tersebut pemain mereka berjaya memberikan tekanan fizikal yang baik kepada pasukan lawan. Bermain fizikal bukan bermaksud bermain kasar. Ia adalah merujuk kepada permainan ‘physical contact’.
Ada beza permainan fizikal yang bersih dengan yang kotor. Misalnya, pemain melakukan cabaran dengan bahu ke bahu. Itu bersih. Seterusnya, jika pemain menolak pemain lawan dengan tangan, itu kotor.
3. Sistem ketika bertahan
Sebelum ini ramai mengaitkan Jerman sebagai negara yang berpegang kepada gegenpressing seperti sebelum ini. Dalam temasya kali ini mereka juga bertahan dengan gaya klasik.
Gegenpressing masih menjadi salah satu sistem mereka ketika bertahan. Namun begitu, variasi dalam pertahanan mereka kali ini lebih ketara.
Menggunakan pemain yang ramai di belakang bola apabila perlu. Lawan yang berbeza dan pasukan yang berbeza memerlukan mereka bermain sistem yang berbeza.
Dalam perlawanan menentang Chile, mereka bertahan dengan unit sehingga rantaian berlima atau bereenam di garisan paling rendah. Mereka kerap bertahan dengan 5-4-1 atau 5-3-2.
Aspek yang sama digunakan oleh pasukan B-21 Jerman. Mereka mampu menyerap asakan pasukan lawan dengan sistem rigid. Pada masa yang sama, ada ketika mereka mengenakan gegenpressing dalam situasi yang tertentu.
4. Sistem ketika menyerang
Kreativiti menjadi kunci penting untuk pasukan Jerman kali ini. Mereka kelihatan sudah mengurangkan aspek terlalu bergantung kepada penguasaan bola.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Jerman telah menggunakan model ala Pep Guardiola yang menitik beratkan aspek penguasaan bola pada kadar luar biasa.
Apabila kurang bola, mereka akan kurang efektif. Tetapi kali ini, pasukan Joachim Loew mampu untuk menang dengan penguasaan bola yang terhad. Mesti anda ingat dengan Portugal apabila membaca ayat ini.
Aspek yang sama diterapkan di dalam skuad B-21 mereka. Dalam perlawanan final menentang Sepanyol, mereka beroperasi dengan kadar bola di kaki yang rendah.
Tetapi ketika bola di kaki mereka (in possession), mereka ada kualiti yang kuat untuk menghasilkan produk akhir.
5. Kualiti penyudah
Mungkin ini aspek yang lebih menggerunkan pasukan lawan. Mereka membuktikan para pemain mereka memiliki opsyen yang banyak dalam penyudah.
Setiap pemain memiliki kualiti penyudah. Tidak hairan jika pemain pertahanan mereka diberikan sesi latihan untuk menjaringkan gol.
Mereka masih mengekalkan identiti penyerang yang tajam menyambut hantaran lintang. Pemain tengah mereka seperti Goretzka mempunyai penyudah yang berkesan.
6. Squad depth
Jerman memiliki pilihan yang sangat banyak di dalam gudang bakat mereka. Kualiti pasukan Euro B-21 mereka tidak begitu jauh bezanya dengan kualiti Piala Konfederasi.
Kami percaya, akan muncul beberapa nama lagi selepas liga bermula musim hadapan. Mereka masih ramai pemain berkaliber yang bercuti, sama ada kerana kecederaan ataupun diberikan perlepasan khas. Neuer, Muller, Ozil, Hummels, Reus dan ramai lagi.
Sekitar 80% skuad utama mereka dalam 2 kejohanan (Konfederasi dan Euro B-21) adalah dari Bundesliga. Jadi, kualiti liga mereka berkesan dalam membangunkan pemain.
Ramai pemain faham kehendak sistem pasukan utama.
7. Kualiti kejurulatihan
Joachim Loew membuktikan beliau jurulatih yang hebat. Percaya dengan pemilihan pemain beliau pada kali ini. Loew dikecam dari pelbagai sudut kerana pemilihan pemain.
Beliau tidak melatah, sebaliknya fokus kepada tugasan beliau dan cuba membuktikan apa yang beliau lakukan adalah betul.
Itu kualiti jurulatih yang hebat. Beliau memberitahu, tugas untuk membentuk pemain muda juga tanggungjawab beliau. Ia tidak adil untuk mengharapkan jurulatih di kelab sahaja membangunkan pemain muda.
Apabila anda melakukan sesuatu seperti Loew barulah layak anda digelar menutup mulut pengkritik.
Rumusan
7 perkara ini yang membentuk kejayaan membanggakan bola sepak Jerman dalam tempoh 72 jam ini. Mereka adalah Juara Dunia pada 2014.
Aspek holistik di dalam taktikal. Mereka berpegang kepada DNA bola sepak yang sama. Formasi mungkin berbeza namun falsafah bola sepak mereka adalah sama.
Jerman jelas sudah semakin keluar dari model Guardiola dengan Juego Di Posicion. Mereka melakukannya kerana terlalu banyak testimoni pasukan lawan akan cuba memarkir bas apabila berhadapan dengan pasukan seperti Jerman, Sepanyol dan Brazil.
Apa yang jelas mereka meningkatkan kembali aspek kemampuan bersaing secara fizikal di dalam bola sepak mereka.
Itulah pengurusan bola sepak yang hebat. Sentiasa ada kapasiti dan capability untuk membentuk gaya bola sepak seiring dengan ‘tuntutan’ semasa.
Nampaknya Jerman adalah pasukan untuk dikalahkan (team to beat) di Piala Dunia 2018.