Ketika England melayakkan diri ke separuh akhir Piala Dunia 1990, negara Croatia belum lagi wujud di dalam peta dunia.
Perlawanan bola sepak antarabangsa pertama melibatkan Croatia ialah selepas kejohanan yang diadakan di Itali itu berakhir. Ianya ialah perlawanan persahabatan menentang Amerika Syarikat. Mencatat kemenangan 2-1 keputusan tersebut tidak pun diiktiraf oleh FIFA.
Mewujudkan sebuah pasukan bola sepak memang mudah. Sekurang-kurangnya ia tidak sesukar mewujudkan sebuah negara yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Kisah 1992 dan Piala Dunia 1998
Croatia mencapai kemerdekaan pada 1991 selepas terlibat di dalam perang Balkan.
Tidak perlu diulas panjang kisah perang tersebut di dalam artikel ini. Anda boleh melakukan carian sendiri mengenai hal ini di laman sesawang.
Perlawanan antarabangsa pertama yang diiktiraf oleh FIFA membabitkan Croatia ialah perlawanan menentang Australia pada 8 Julai 1992. Itu adalah tarikh lahir rasmi bola sepak negara bekas pecahan Yugoslavia ini di pentas antarabangsa.
Sukar untuk menjelaskan bagaimana di dalam tempoh beberapa tahun, Croatia mampu membangunkan bola sepak mereka. Selepas beberapa perlawanan persahabatan, perlawanan kompetitif pertama buat Croatia tiba pada 1994 dalam pusingan kelayakkan Euro 1996.
Menjuarai kumpulan di pusingan kelayakan termasuk berada di atas Itali, Croatia hadir di England untuk beraksi di kejohanan tersebut.
Jelas mereka bukan sekadar hadir sebagai pelengkap di England. Melepasi saingan peringkat kumpulan, Croatia disingkirkan Jerman (juara kejohanan edisi 1996) di saingan suku akhir hanya selepas lima tahun kewujudan negara mereka.
Kumpulan pemain pada ketika itu seperti Slaven Bilic, Zvonimir Boban dan Davor Suker, pantas dijulang sebagai generasi emas sebelum kumpulan pemain yang hampir sama melakukan satu lagi pencapaian yang menakjubkan dua tahun kemudian di Perancis.
Dengan jersi ikonik bercorak dam merah dan putih, Croatia bermula garang menewaskan Jamaica dan Jepun sebelum tewas kepada Argentina yang dikemudi oleh Gabriel Batistuta ketika tempat ke pusingan seterusnya sudah dipastikan.
Selepas itu, semuanya semakin menjadi buat Croatia. Sepakan penalti Suker memastikan mereka melepasi halangan Romania, sebelum dendam terhadap Jerman dibalas dengan kemenangan 3-0 di peringkat suku akhir.
Menanti mereka di separuh akhir 20 tahun yang lalu ialah Perancis. Les Bleus yang diterajui oleh Zinedine Zidane, Didier Deschamps, Laurent Blanc, Lilian Thuram, Thiery Henry dan ramai lagi nama besar generasi emas coq gaulois.
Croatia tewas 2-1 di Stade de France. Namun perlawanan tersebut dianggap sebagai perlawanan Piala Dunia yang penuh klasik, dengan kedua-dua pasukan memiliki generasi pemain yang berada di kemuncak karier dan prestasi.
Kebangkitan meteorik bola sepak Croatia sejak dari dulu lagi membuktikan bahawa tidak ada perkara yang mustahil, walaupun tidak memiliki pool pemain yang besar.
Bagaimana mereka melakukannya? Apakah program bola sepak yang diamalkan oleh Croatia?
Bagaimana negara yang memiliki populasi penduduk sekitar 4 juta ini mampu menghasilkan ramai pemain berkelas dunia?
Gambaran bola sepak Croatia
Ini adalah bahagian paling sukar untuk dijelaskan. Tidak ada kajian sahih yang menyatakan genetik mempunyai kaitan secara langsung dalam melahirkan pemain bola sepak yang berbakat.
Tetapi Croatia pasti memiliki jurulatih-jurulatih berkualiti di peringkat pembangunan akar umbi berdasarkan deretan pemain yang mereka hasilkan dalam tempoh 20 tahun ini. Kenyataan ini adalah andaian.
Realitinya, Croatia tidak mempunyai pelan pembangunan bola sepak yang jelas dan bersistematik untuk membangunkan bakat muda di peringkat akar umbi. Jauh sekali bola sepak dijadikan sebagai agenda di peringkat nasional di bekas negara bekas jajahan Soviet itu.
Dari segi fasiliti juga mereka boleh dikatakan ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan apa yang kita miliki di dalam negara. Sejak 30 puluh tahun yang lalu, tidak banyak stadium dibina atau dinaiktaraf seperti sepatutnya untuk bola sepak.
Begitu juga dengan padang latihan. Keadaan kebanyakan padang utama juga teruk, dan ia sentiasa menjadi masalah bagi kelab-kelab bola sepak di Croatia saban musim. Kesimpulannya, mereka hanya memiliki kemudahan yang sangat asas untuk meneruskan perjalanan liga mereka.
Pencetus dan tulang belakang bola sepak Croatia
Untuk bertahun lamanya, bola sepak di Croatia dibangunkan oleh sebuah kelab bola sepak di negara tersebut, iaitu Dinamo Zagreb.
Mempunyai kekuatan kewangan yang dijana dari kota Zagreb itu sendiri, akademi bola sepak milik Dinamo Zagreb berupaya untuk mengumpulkan pemain-pemain terbaik dari seluruh pelusuk Croatia sehingga merentasi negara Balkan yang lain.
Mempunyai pengaruh yang kuat di dalam Persatuan Bola Sepak Croatia (HNS), pemain remaja Dinamo hampir pasti akan dipanggil beraksi untuk Croatia. Malah pernah terjadi dalam satu perlawanan antarabangsa B-17, semua sebelas pemain utama yang diturunkan adalah produk akademi Dinamo Zagreb.
Dinamo Zagreb mungkin adalah pencetus kepada kebangkitan bola sepak di Croatia. Menyedari kepentingan pembangunan bola sepak, monopoli Dinamo di dalam skuad kebangsaan kemudiannya dipecahkan oleh seteru utama domestik, Hajduk Split yang turut memperkasakan akademi bola sepak mereka.
Dinamo juga memiliki kelab bola sepak Lokomotiva, yang merupakan feeder club kepada kelab Zagreb itu.
Berbeza dengan kebanyakan feeder club di pelbagai negara yang mempunyai pelbagai peraturan dari segi penglibatan, Lokomotiva dibenarkan untuk bertanding di divisyen utama Liga Croatia dan di dalam semua pertandingan domestik yang lain.
Misi utama Lokomotiva ialah untuk menghasilkan seberapa ramai pemain untuk diimport keluar, bukan sahaja untuk kegunaan Dinamo Zagreb semata-mata, tetapi juga ke liga-liga utama eropah yang lain.
Tujuan akhirnya pula ialah untuk memperkasakan skuad kebangsaan Croatia. Lokomotiva adalah destinasi pertama pemain-pemain yang dihasilkan dari akademi Dinamo Zagreb untuk bertanding secara kompetitif sebelum keluar untuk melangkah lebih jauh lagi dalam karier profesional masing-masing.
Di kalangan 23 pemain skuad Croatia ke Rusia, sekurang-kurangnya 6 daripada mereka pernah beraksi bersama Lokomotiva. Antara bekas pemain Lokomotiva yang berada bersama skuad Croatia di Rusia ialah Andrej Kramarić.
Modric, Mandzukic and Kovacic adalah pemain yang asalnya dari Dinamo Zagreb sendiri. Manakala Subasic dan Srna adalah dari Split.
Skuad Piala Dunia 2018 memperlihatkan 6 pemain berpengkalan di Itali, 4 di Sepanyol, 3 di Jerman, 2 di Croatia dan 1 pemain masing-masing di England, Perancis, Rusia, Ukraine dan Turki. Ini memberikan kepelbagaian pengalaman dan bagaimana untuk berhadapan dengan pelbagai situasi dalam perspektif bola sepak.
Strategi, logik, dan kuasa?
Walaupun apa yang dilakukan oleh Dinamo Zagreb kelihatan seperti cetak biru yang jelas, masih sukar untuk mengenali DNA bola sepak yang mereka ingin diterapkan.
Di dalam tempoh 13 tahun, 17 jurulatih datang dan pergi. Perkara sama juga berlaku di dalam skuad kebangsaan Croatia. Tiga jurulatih sebelum Zlatko Dalic, – Igor Stimac, Niko Kovac dan Ante Cacic dipecat sebelum perlawanan penting di pusingan kelayakan ke Rusia.
Malah Dalic sendiri dilantik hanya 48 jam sebelum perlawanan terakhir perlawanan kelayakan yang membawa mereka ke play-off sebelum ke Rusia.
Selama ini pembangunan bola sepak Croatia di peringkat nasional berada di tahap minimum. Mereka pernah melantik Romeo Jozak sebagai Pengarah Teknikal.
Sedikit sebanyak ia adalah peranan sepertimana yang dilakukan oleh Michael Sablon bersama Belgium, iaitu untuk merangka bola sepak Croatia dalam tempoh jangka masa panjang.
Namun Jozak juga dipecat beberapa minggu sebelum tampil untuk mempersembahkan hasil kajian dan idea beliau.
Rumusan
Croatia memiliki antara gandingan pemain tengah terbaik dunia di Piala Dunia 2018. Tetapi bagaimana anda menjelaskan mengapa Croatia enggan mengeksplotasi kekuatan mereka ketika berhadapan pasukan tuan rumah di suku akhir yang lalu?
Dalam perlawanan tersebut, 109 hantaran jauh dilakukan oleh anak buah Dalic, tatkala Croatia jelas adalah pasukan yang lebih baik dari segi teknikal berbanding Rusia. Menentang England, kekuatan di bahagian tengah itu kemudiannya nyata.
Strategi mereka sukar difahami. Adakalanya melangkaui logik. Namun kekuasaan mereka di atas padang jelas sekali. Iaitu untuk membawa nama Croatia menyinar di pentas tertinggi bola sepak dunia.
Pergilah ke Zagreb, Split, Zadar, atau ke daerah terkecil di Komiza sekalipun, tidak ada rakyat Croatia yang mempersoalkan segala logik dan perjalanan bola sepak di negara mereka.
Asalkan sahaja kelab seperti Dinamo Zagreb, Hajduk Split, ataupun Lokomotiva terus menghasilkan pemain demi kepentingan skuad kebangsaan, maka semuanya kekal logik di Croatia.