Jika menyebut mengenai Eredivisie. Pembaca mesti mengenali sekurang-kurangnya tiga kelab utama yang berasal dari 3 bandaraya utama di Belanda iaitu Ajax Amsterdam, Feyenoord Rotterdam & PSV Eindhoven.
Eredivisie juga pernah dibintangi pemain-pemain ternama seperti Johan Cryuff, Ronald Koeman serta pemain dari Singapura – Fandi Ahmad.
Ketika berada di sana, saya berjaya melawat 17 buah stadium serta menghadiri 3 buah perlawanan di sana.
Berikut adalah beberapa pemerhatian saya yang saya rasa boleh kelab bolasepak mahupun penyokong-penyokong bolasepak Malaysia terapkan dalam bolasepak tempatan sendiri.
Kelab yang menghargai peminat
Ketika saya turun di stesen keretapi Enschede Kennispark yang mana terletak hanya di sebelah dengan De Grolsch Veste Stadion, stadium bagi pasukan FC Twente, saya terus berjalan & berpusing di sekitar stadium.
Saya melihat di satu bahagian stadium, mereka meletakkan satu bahagian khas untuk meletak nama-nama kelab peminat serta ahli-ahli kelab peminat. Jadi saya bilang, ada hampir 20 bahagian semuanya.
Satu persatu saya baca setiap nama kelab peminat itu dan ternyata ada antara kelab peminat itu sejauh dari Paris, Bremen dan ada kelab peminat yang malah dari England!
Anda boleh sahaja membayangkan sekiranya kelab tempatan yang anda minat memahat nama anda di sekitar stadium, sayang anda pasti lebih mendalam!
Mentaliti mereka yang terbaik
Di hari yang sama ketika saya sudah mahu memasuki ke dalam kedai cendrahati FC Twente, ada sepasang datuk & nenek yang agak tua telah selesai membeli barangan – mungkin untuk cucunya.
Tiba-tiba, si datuk berkata kepada saya: “Tahniah! Anda baru saja tiba di kelab terbaik di dunia.”
Saya terpinga-pinga tetapi langsung tersenyum. Bagi yang mengikuti Eredivisie, FC Twente malah bukanlah yang terbaik di Belanda – tetapi hanya terbaik di Timur negara Belanda.
Namun saya sangat kagum dengan semangat si datuk yang tetap percaya kelab yang mewakili komuniti bandarnya itu adalah yang terbaik di Belanda serta dunia.
Belum tentu kita mahu mengakui pasukan kita terbaik di Malaysia. Jika adapun, ketika semasa pasukan yang disokong sedang berada di era kegemilangan mereka.
Peminat yang matang
Saya berpeluang untuk menonton perlawanan antara Heracles Almelo, sebuah kelab pertengahan Eredivisie menentang PSV Eindhoven.
Apa yang saya dapat perhatikan, penyokong Heracles Almelo adalah penyokong yang matang.
Hal ini kerana, ketika pasukan mereka sedang ketinggalan pun seluruh stadium ikut bergabung menyanyi bersama-sama.
Tidak dinafikan ada juga penyokong tuan rumah yang turut pulang awal sedikit sebelum wisel penamat dibunyikan. Namun sokongan tetap diberikan tanpa menjatuhkan semangat pemain pasukan sendiri.
Kita boleh mengkritik pemain yang kurang cemerlang. Tetapi, makian secara langsung ketika permainan tidak akan langsung membantu moral pasukan.
Selepas tamat perlawanan, saya boleh katakan penyokong mereka juga sangat bermentaliti baik dengan membuang sampah di tempat yang sepatutnya serta tidak meninggalkan minuman di kerusi-kerusi stadium.
Pihak berkenaan di stadium kita, jika mampu boleh menyediakan tong sampah seperti gambar di atas. Ia akan memudahkan penyokong yang menonton di stadium anda mudah mendapat akses membuang sama.
Sistem tiket yang efisien
Saya pergi ke stadium dengan hanya membuat tempahan tiket melalui e-mel kerana sistem jualan tiket atas talian hanya dibolehkan untuk pemegang kad kredit atau debit daripada bank yang berpengkalan di Belanda sahaja.
Pada mulanya saya sangat risau sekiranya tidak dapat tiket seperti yang dijanjikan di melalui e-mel. Pada hari perlawanan, saya hanya pergi ke kaunter tiket, terus menunjukkan butiran e-mel yang menghubungkan saya dengan pegawai kelab sebelum ini. Mudah & ringkas!
Di Kyocera Stadion pula, saya sedikit terkejut kerana tiket saya tiada nombor tempat duduk.
Perkara Ini bukan kebiasaan stadium di Eropah. Hal ini kerana hampir kebanyakkan stadium yang saya pergi, mesti tiket perlawanannya mempunyai nombor baris dan tempat duduk.
Saya sempat bertanya kepada pegawai kelab, mengapa sistem lapuk ini digunakan kelab ADO Den Haag?
Pegawai kelab itu menjawab ia kerana kehadiran di Kyocera Stadion adalah dibawah paras 85% secara purata.
Jadi kelab ambil langkah untuk hapuskan sistem tempat duduk bernombor, malah penyokong boleh duduk di mana-mana selagi berada di zon yang dibeli.
Berikut adalah pelan bagi stadium ADO Den Haag – Kyocera Stadion.
Saya membeli tiket di seksyen J dan saya anggarkan seksyen J mempunyai 500 kerusi. Perkara yang sama kelab-kelab Malaysia boleh adaptasikan di stadium mereka yang saya kira tidak sampai 50% penuh.
Bahagikan seksyen di dalam stadium dan jual yang mahu anda jual terlebih dahulu. Sekiranya anda mahu jual grandstand serta mainstand terlebih dulu maka dipersilakan.
Dengan syarat, jumlah tiket setiap seksyen adalah sama cukup dengan nombor kerusi di seksyen yang sama. Mudah & ringkas!
Stadium serbaguna
Stadium bolasepak di Belanda tidak semuanya dimiliki penuh oleh pasukan kelab bolasepak itu. Jadi, saya melihat ada beberapa persamaan antara stadium di Belanda – serbaguna.
Di Philips Stadion stadium milik PSV Eindhoven, mereka mempunyai gimnasium yang dimiliki oleh sebuah syarikat gimnasium serta beberapa pejabat-pejabat yang disewakan kepada syarikat firma perakaunan serta insurans.
Di MAC3PARK Stadion serta Noordlease Stadion yang merupakan stadium bagi pasukan PEC Zwolle serta FC Groningen, mereka mempunyai sebuah kasino besar yang menjadi penarik orang ke stadium walaupun tiada perlawanan serta hari berkerja.
Kedai cendrahati yang menjual barangan rasmi pasukan juga ada di setiap stadium yang saya lawati cuma bezanya sama ada berkapasiti kecil ataupun besar serta corak dekorasi sahaja.
Peminat yang fanatik bukan sekadar berminat kepada jersi sahaja, malah membeli cawan, tuala, topi yang berlogokan kelab dan banyak lagi.
Ini akan menjadi daya penarik orang untuk ke stadium walaupun ketika tiada sebarang perlawanan!
Kesimpulan
Banyak lagi perkara yang saya tidak sempat untuk ceritakan mengenai perjalanan saya ke Belanda tempoh hari.
Saya berharap segala yang dikongsikan adalah menjadi satu ilmu berguna yang kita boleh segera terapkan dalam Liga Malaysia yang banyak lagi aspek yang ktia sama-sama boleh perbaiki – baik dari segi mentaliti penyokong, pengurusan mahupun pemain.
Nota editor: Artikel ini dikarang oleh Sofwan Zulkepli dan anda boleh ikut beliau di Twitter di @wanfarlee. Jika anda ada artikel menarik dan ingin dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel dalam format MS Word ke [email protected] .
Baca juga: Andorra VS San Marino: Perlawanan Antara 2 Pasukan Yang Tak Menang Sejak 13 Tahun