Bojan Krkic: Kisah ‘Wonderkid’ Dihantui Label Messi Baru

Pada satu ketika dahulu, Bojan Krkic pernah dianggap sebagai ‘Messi Baru’. Beliau menjaringkan gol UCL pada usia 17 tahun.
Namun selepas itu, ‘wonderkid’ ini gagal untuk menepati ramalan dan harapan yang tinggi diletakkan ke atasnya.

Menurut Bojan Krkic, beliau lebih gembira ketika di Stoke City berbanding engan Barcelona. Bagi Krkic, ketika di Stoke City beliau telah banyak belajar erti kehidupan, lebih daripada sekadar pemain bola sepak, malah seorang manusia.

Itu yang membezakan apa yang pernah beliau lalui ketika di Barcelona. Bojan pernah bermain untuk Stoke ketika di Liga Championship.

Pada awalnya beliau sangat risau untuk keluar daripada Barcelona lebih-lebih lagi pada usia muda. Namun ternyata ketakutan beliau itu hanyalah perasaan.

Ini kerana realitinya, Bojan menganggap dirinya bertuah kerana berani membuat keputusan terbaik untuk dirinya dengan pergi ‘mengembara’ dan berkelana ke beberapa negara.

Wonderkid & mesin gol La Masia

Beliau menjaringkan 850 untuk peringkat remaja bersama Barcelona. Pada usia 20 tahun Bojan Krkic terpaksa meninggakan Barcelona selepas merasakan dirinya tidak akan mendapat lebih banyak minit di kelab tersebut meskipun sudah beraksi dalam 163 perlawanan untuk pasukan utama Barcelona.

Bojan Krkic menyertai beberapa kelab lain sebelum perpindahan mengejut ke Stoke City. Beliau bermain untuk Roma dan AC Milan. Selepas itu, ketika di Stoke, Bojan dipinjamkan ke Mainz dan Alaves.

Tinggalkan Barcelona

Dalam temuramah khas bersama Radio BBC, Bojan Krkic berkongsi pengalaman beliau daripada bintang remaja sensasi kepada bakat yang hampir dilupakan. Beliu juga berkongsi tentang tekanan yang beliau hadapi ketika di Barcelona. Bojan kemudian terpaksa melupakan kata hatinya dan mengikut ‘kepalanya’ untuk pergi ke England.

Bojan selesa untuk bermain dengan kelab tidak ternama seperti Stoke City. Ini kerana ketika di AS Roma dan AC Milan, beliau tetap dihantui oleh label ‘wonderkid’ serta diberikan harapan yang terlalu tinggi.

Perbezaan budaya bola sepak

Bojan merasakan dirinya lebih dihargai dan dihormati di Stoke. Beliau menyertai Stoke lebih kurang 4 tahun yang lalu dan sudah melalui beberapa tempoh pinjaman.

Namun secara peribadi beliau berpendapat, karier di England adalah yang paling beliau banggakan kerana beliau menikmati banyak aksi kompetitif.

Bojan Krkic berkata: “Di sini, di England adalah tempat saya lebih dihargai di luar padang. Saya bangga dengan karier saya di sini berbanding dengan di Sepanyol. Ada perbezaaan mentaliti di sini. Orang di sini menghormati kamu. Saya rasa ini tempat yang sangat bagus.”

“Saya pernah bermain separuh akhir UCL, saya bermain banyak perlawanan besar, dan sekarang saya di Liga Kejuaraan (Championship). Perkara ini agak emosi namun saya menikmatinya.”

“Di Sepanyol atau Itali, apabila anda menang, anda akan disanjung sebagai yang terbaik. Namun apabila anda kalah, anda menjadi sangat teruk di mata mereka.”

“Di Itali satu perlawanan anda menang dan anda beraksi baik dengan menjaringkan 1 gol dalam perlawanan itu, anda tak boleh keluar rumah. Ini kerana penyokong di sana terlalu taksub dengan kemenangan dan memuja anda.”

“Namun, jika anda kalah, mereka akan jadi gila. Mereka akan mencari kamu selepas perlawanan. Ada sekali, ketika saya di Rome, kami kalah dan penyokong menunggu kami di padang latihan. Perlawanan berikutnya kami akan berhadapan dengan Lazio – salah satu perlawanan terbesar dalam kalendar.”

“Mereka memberikan amaran kepada kami: ‘Hari ini kamu boleh kalah, namun bukan perlawanan berikutnya [menentang Lazio], tiada alasan untuk kamu tidak menang’. Namun mereka menyatakannya dengan sopan.”

“Ramai pemain tidak kisah akan tekanan seperti itu. Namun ada pemain yang lebih sensitif. Di England, anda tidak merasai pengalaman seperti itu dan lebih gembira untuk bermain. Sangat berbeza – bermain bola sepak di sini dan di sana.”

Bojan Krkic: Saya bukan ‘Messi’

Bojan merupakan anak kepada bekas pemain kebangsaan Serbia. Namun begitu beliau membesar di Catalonia. Sejak kecil beliau adalah peminat Barcelona. Pada usia 9 tahun Bojan menyertai Barcelona. Sejak daripada itu beliau memiliki rekod jaringan yang sangat luar biasa pada peringkat usia awal.

Maka tak hairanlah orang ramai dan media mulai membandingkan beliau dengan Lionel Messi – yang 3 tahun lebih tua daripada beliau. Messi ketika itu sudah dianggap bakat elit dalam bola sepak. Beliau berkata: “Kamu harus mengawal benda yang kamu lakukan. Pada tahun pertama saya di La Liga, saya menjaringkan 10 gol, dan ketika itu orang mulai menyatakan: ‘yeah, itulah Messi baru’.”

“Anda tidak boleh lakukan apa-apa tentang perkar ini. Akhirnya saya sedar kualiti saya dan saya bukan Messi. Jika mereka berkata: ‘yeah, pemain ini bukan Messi baru’, saya akan senang hati menjawab, ya saya bukan Messi baru.”

Namun label itu terus menghantuinya ketika belia di Itali. Bojan menyatakan: “Bukan mudah untuk menjadi Messi. Beliau boleh menjaringkan 3 gol dalam setiap perlawanan. Jika kamu sekadar menjaringkan 1 gol, kamu bukan Messi. Apabila di Rome dan Milan, ramai yang menyatakan saya ke sana untuk menjadi bintang baru Serie A sebagai Messi baru.”

“Jadi, bermain baik sahaja tak cukup, anda perlu pada prestasi terbaik untuk menjadi Messi. Perkara seperti ini langsung tidak membantu karier saya. Pada awalnya sangat sukar untuk saya menghadapinya, namun selepas itu saya tahu apa perlu dilakukan.”

Beliau berkongsi pengalaman pada tahun kedua di Barcelona di mana Pep Guardiola menyisihkannya daripada kesebelasan utama. Sedangkan ketika itu beliau dalam prestasi terbaik, menjaringkan 41 gol daripada 163 penampilan.

“Pada musim kedua saya di Barca dengan Pep, pada perlawanan kedua menentang Racing, saya tidak bermain. Ianya sukar kerana saya sudah terbiasa bermain sebelum itu. Dan ketika itu saya salah seorang pemain terbaik kelab.”

Ketika di Barcelona beliau memenangi 3 La Liga, 2 UCL, 1 Copa Del Rey, 1 Piala Super Eropah, 2 Piala Super Sepanyol dan 1 Piala Dunia.

Ramai pemain graduan La Masia seperti Xavi, Andres Iniesta, Sergio Busquets, Carles Puyol dan Messi memilih cuba untuk kekal di Barcelona sepanjang karier mereka. Namun Bojan ketika itu terpaksa memilih haluan berbeza selepas kehilangan tempat dalam pasukan utama Guardiola meskipun ketika itu beliau belum mencecah usia 21 tahun.

“Ketika di Barcelona, saya tak pernah memikirkan akan bermain dengan pasukan lain dan berpindah ke bandar lain. Namun ketika saya membuat keputusan, perkara itu datang daripada kepala saya bukannya hati saya. Hati saya sentiasa berkata ‘di sini rumah kamu, tempat kamu’.”

“Sebenarnya saya tak tahu yang di luar Barcelona adalah dunia yang sangat indah. Saya membuka pintu keluar rumah dan berkata, terima kasih, saya pilih jalan saya sendiri.”

“Apabila kamu merelakan diri kamu membuka pintu itu, kamu akan melihat banyak perkara menunggu kamu di luar sana. Pada awalnya ianya agak menakutkan. Anda akan memakai jersi lain, penyokong serta budaya dan mentaliti yang berbeza.”

“Namun apabila kamu berjaya membuat keputusan itu – pada langkah pertama kamu akan rasa bangga. ”

Beliau bermain 1 musim untuk Roma. Menjaringkan 7 gol daripada 37 perlawanan. Selepas itu beliau dipinjamkan ke AC Milan dan hanya menjaringkan 3 gol di sana. Pada 2013 beliau secara teknikalnya kembali semula ke Barca selepas ada konflik di antara Barca dan Roma dalam memeteraikan kontrak tetap beliau.

Bojan memberitahu beliau mahukan lebih minit perlawanan dan Barcelona ketika itu tak dapat menjanjikannya. Lalu Bojan dipinjamkan ke Ajax. Di Belanda, Bojan menceritakan kepayahan terbaru beliau iaitu dari segi bahasa.

Bojan Krkic meraikan kejuaran Liga Belanda dengan baju penghargaan kepada mendian Tito Vilanova

“Ianya sukar kerana kamu pergi ke satu tempat untuk setahun ataupun dua tahun, ianya tak cukup untuk kamu kenali bandar dan masyarakat di situ. Di Belanda saya tinggal bersendirian. Di Barcelona apabila bersendirian dan bosan, kamu boleh menelefon rakan kamu untuk keluar minum kopi.”

“Seingat saya, Belanda adalah tempat yang paling sukar dalam hidup saya untuk beberapa tahun. Bahasa Inggeris saya tak cukup bagus dan mereka pula bercakap Bahasa Belanda. Ketika di pusat latihan saya tak bercakap dengan sesiapa kerana tiada seorang pemain bola sepak mereka berbahasa Sepanyol. Hanya Frank De Boer, dan beliau adalah jurulatih.”

“Saya kadangkala meluangkan masa berbual dengan beliau. Namun pada ketika itu saya memang tidak bercakap dengan orang lain di pusat latihan dan sangat keseorangan di rumah.”

Bojan menjaringkan 5 gol daripada 32 penampilan di Ajax. Membantu kelab tersebut menjuarai Eredivisie. Selepas itu beliau berjaya memeterai perjanjian tetap dengan Stoke.

Selepas itu, pada Ogos 2019, Bojan Krkic berkelana ke Amerika Syarikat, menyertai Montreal Impact.

Bojan Krkic ada masalah anxiety

Bojan kemudian memberitahu, pada usia 17 tahun beliau bergelut dengan masalah mental iaitu ‘anxiety’. Ini kerana beliau terlalu takut untuk hilang tempat dalam pasukan utama.

“Saya terpaksa berpura-pura saya seorang yang kuat mental. Jika kamu menunjukannya, ia akan ‘makan’ kamu. Ada 25 pemain dan hanya 11 yang bermain. Kamu harus tunjukkan kamu cukup kuat untuk mengawal segalanya.”

“Sebagai pemain bola sepak, kelab bayar anda dan penyokong sayang anda, mereka mahu kamu menang. Kamu perlu bermain. Namun ada hari dan tahun yang panjang, di mana semua orang ada kehidupan peribadi.”

“Perkara seperti in sukar diuruskan, dan pada masa yang sama anda perlu bermain di hadapan ramai orang dengan baik.”

“Namun perkara-perkara sebegini membuatkan kamu lebih kuat.”

Darah Serbia mengalir

Bojan mengakui beliau mahu bermain untuk Serbia. Namun beliau mendapat 1 kaps kompetitif dengan Sepanyol ketika menjadi cameo pada kelayakan Piala Dunia 2008. Beliau kemudian meminta untuk menukar status kewarganegaraan FIFA kepada Serbia pada 2016.

Bojan bermain untuk pasukan negara Catalan yang tidak diiktiraf oleh FIFA. Beliau ketika itu dipanggil oleh mendiang Johan Cruyff yang menjadi jurulatih. Bojan berkata: “Johan Cruyff antara orang yang sangat baik pernah saya kenali dalam karier saya.”

Beliau membuat rayuan kepada FIFA tetapi peraturan sudah jelas menyatakan beliau sudah ‘di-lock’ untuk mewakili Sepanyol sahaja untuk sepanjang hidupnya. Beliau gagal menjadi pemain utama Sepanyol walaupun pada awal kariernya dianggap bakal menjadi pemain penting.

Beliau dalam dilema. Jika waktu itu beliau menolak panggilan Sepanyol pastinya beliau menjadi sasaran kutukan ramai pihak dan dianggap tak patriotik. Namun selepas itu hanya beberapa minit aksi kompetitif dengan Sepanyol dan beliau tak pernah beraksi lagi.

Jika bersama Serbia sudah pastinya beliau akan lebih banyak peluang untuk muncul di arena antarabangsa.

Ayahnya dahulu bermain dengan pasukan divisyen bawahan di Sepanyol, Mollerussa. Bojan mendapat darah Sepanyol daripada emaknya.

“Ayah saya ketika itu cedera dan emak saya menjadi jururawat yang merawat beliau. Dari situ mereka bertemu dan bercinta selepas ayah saya pulih.”

Bojan selalu balik ke Belgrade bersama keluarganya apabila ada kelapangan. Beliau mengakui ketika kecil beliau petah bercakap Serbia. Namun kini penguasaan bahasa ibudanya itu semakin kurang kerana beliau tidak mempraktikannya kerap.

Kesebelasan terbaik pilihan Bojan Krkic

Bojan lebih banyak bercakap Bahasa Inggeris dan Sepanyol. Ditanya siapakah rakan sepasukan terbaik pilihan beliau. Bojan berkata: “Victor Vasquez [kini bermain untuk Toronto FC] dan Fran Merida [kini di Osasuna] antara pemain terbaik pernah bermain bersama saya.”

“Mereka masih bermain namun bukan di tahap sepatutnya mereka patut berada.”

“Carlos Puyol, pemain yang awalnya memulakan karier di Barcelona – bergelut dengan kualiti untuk menjadi pemain utama. Namun beliau berusaha dan memiliki mentaliti yang kuat, akhirnya beliau berjaya. Saya tak kata Vasquez dan Merida tiada mentaliti seperti itu, cuma mereka berbeza dengan Puyol.”

Beliau juga memilih Ronaldinho dan Messi sebagai pilihan dalam kesebelasan terbaik beliau. Bojan tidak mahu meletakkan dirinya di dalam pasukan pilihan beliau seperti yang ada di bawah ini:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN