Bekas penyerang Barcelona, Bojan Krkic berpendapat bahawa penyerang Liverpool, Roberto Firmino merupakan individu yang lebih sesuai dengan sistem dipraktikkan The Blaugrana berbanding Lautaro Martinez.
Pemain kelahiran Argentina yang beraksi untuk Inter Milan itu pada ketika ini menjadi sasaran utama gergasi bola sepak Sepanyol dan Eropah tersebut bagi mendapatkan khidmatnya.
Pengurus Barcelona, Quique Setien turut melabelkan Lautaro Martinez sebagai seorang pemain yang hebat serta mengakui kelab gergasi Sepanyol itu sememangnya berminat untuk mendapatkan pemain hebat bagi memantapkan pasukan.
Bojan bagaimanapun mempunyai pendapat berbeza dengan melihat Firmino lebih sesuai untuk digandingkan bersama bintang dunia, Lionel Messi.
”Sekiranya anda membenarkan saya mengemukakan satu nama, saya akan lebih memilih Firmino: seorang pemain penghubung, dengan mobiliti yang luar biasa.”
”Saya tidak membawa maksud pendapat ini sebagai penolakan untuk Barcelona membawa masuk pemain Argentina itu.”
”Tetapi saya memahami bahawa profilnya perlu dianalisis dengan sebaik-baiknya, kerana tidak boleh dimaafkan seperti yang terjadi dengan Griezmann,” ujar Bojan menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Kami [Barcelona] membawa masuk penyerang untuk dia beraksi di posisi sayap, lalu kemudiannya merungut bahawa keadaan itu tidak bekerja dengan baik.”
”Perkara ini tidak boleh berlaku sekali lagi kerana ia akan kelihatan menjadi kebiasaan, nombor sembilan [peranan] adalah nombor sembilan.”
”Itulah sifat semulajadinya [Griezmann] dan untuk memindahkannya di posisi lain itu adalah mensia-siakan bakatnya. Sekiranya Barcelona memerlukan pemain peranan nombor sembilan, tandatangani dia [Firmino] tetapi benar-benar memaksimumkan kemampuan dirinya,” ujar Bojan Krkic lagi.