Bojan Hodak memuji prestasi penyerangnya, Safee Sali walaupun percaya yang pemain itu masih bergelut untuk beraksi sepenuh masa dalam saingan Liga Super dan hanya mampu tampil maksimum 60 minit.
Safee Sali turun buat kali pertama dalam kesebelasan utama KL City FC dalam 10 penampilannya musim ini dengan berhasil menyumbang satu gol ketika menewaskan Kedah Darul Aman 2-1 pada Sabtu yang lalu.
Sebelum ini beliau hanya tampil sebagai pemain gantian dan telah merekodkan 43 minit permainan selepas 20 perlawanan liga dilalui. Ketiadaan Paulo Josue telah memberikannya ruang bermain juga sebagai kapten.
Untuk rekod, jaringan pertamanya itu menyaksikan beliau telah meledak gol dalam sembilan musim berturut-turut bagi saingan Liga Super sejak kembali ke Liga Malaysia pada musim 2013 bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) – terpanjang setakat ini. Di belakangnya adalah Safawi Rasid dengan enam musim berturut-turut.
With this goal, it means Safee Sali has scored for the ninth consecutive #LigaSuperMalaysia season, which is currently the longest active streak. The next is Safawi Rasid with six. https://t.co/wwv2sGWfMY
— Lee Seng Foo🇲🇾李成富 (@sengfoo88) September 6, 2021
Ramai yang memperkatakan gaya permainannya yang tampak masih bagus walaupun seringkali diketepikan waima KL City bergelut dengan ketiadaan penyerang. Dua kali mereka kehilangan penyerang musim ini.
Pertamanya, Dominique da Sylva yang sempat membuat enam penampilan sebelum mengalami kecederaan panjang. Kemudian, di jendela perpindahan kedua, KL City membawa masuk Kyrian Nwabueze yang hanya sempat bermain dalam satu perlawanan sebelum mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).
Disebalik dugaan itu, Bojan Hodak dilihat tetap dengan pendiriannya untuk mengetepikan Safee Sali.
Mereka membuat ‘ujikaji’ dengan menukar posisi Romel Morales sebagai penyerang utama selepas itu.
Menurutnya sekitar Mei lalu, Safee Sali tidak sesuai dengan perancangan taktikalnya dan akan diturunkan apabila ia bersesuaian. Katanya, “Kami harus menerima hakikat, Safee Sali bukan lagi seperti pemain yang beraksi pada 2012. Dia akan diturunkan mengikut perancangan dan formasi yang bersesuaian.”
Menjawab kepada kenyataan Bojan Hodak itu, Safee Sali telah tampil berkata, “Selagi pemain asing berada dalam majoriti pemikiran ketua jurulatih setiap pasukan, selagi itu berbagai alasan akan diberikan.”
“Hanya dapat peluang bermain 3, 4 minit dan paling lama 15 minit memang saya akui tidak dapat menunjukkan prestasi sebenar,” titipnya di laman Facebooknya tentang isu prestasinya pada musim ini.
Dalam sidang media sejurus melakarkan rekod tanpa kalah 11 perlawanan berturut-turut, Bojan Hodak tampil memuji permainan Safee Sali tetapi tetap menegaskan yang penyerang itu masih bergelut di Liga Super.
“Saya telah beritahunya yang dia akan dapat bermain 45 ke 60 minit. Dia mungkin tak mampu bersaing 90 minit dan bergelut sedikit di Liga Super tetapi saya percaya dia mampu bermain baik di Liga Premier.
“Kami perlukan kualiti permainannya. Dia berikan saya 45 minit permainan yang berkualiti. Dia tahu di mana dia patut berada dan menjaringkan gol,” ujar Bojan Hodak sambil menjelaskan Safee Sali sudah cergas.
Sebelum ini, ketika terbang ke Kota Kinabalu untuk berdepan Sabah FC, pengendali berusia 50 tahun itu memaklumkan Safee Sali terpaksa berehat akibat demam denggi walaupun sudah berada dalam perancangannya. Namun, selepas itu, Safee Sali tetap tidak bermain sehingga berdepan Kedah, Sabtu lalu.