Sejarah tercipta buat Kuala Lumpur City (KL City) di pentas Piala Malaysia musim ini apabila berjaya melayakkan diri ke saingan suku akhir buat kali pertama sejak tahun 1992.
Ianya terjadi hasil kemenangan tipis 1-0 mengatasi Penang 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Malah, KL City buat masa ini muncul pasukan tunggal yang tidak pernah dikalahkan di laman sendiri sepanjang musim dengan 14 perlawanan tanpa tewas.
Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak, menzahirkan rasa gembira di sebalik kejayaan itu sambil mengharapkan pencapaian berkenaan itu mampu menjadi motivasi tambahan buat pemain-pemain.
“Sememangnya satu perasaan yang istimewa berjaya membawa KL City ke suku akhir kerana kita tidak pernah mara sejak dari tahun 1992 bagi mencapai peringkat ini.”
“Ini sememangnya satu perkara yang positif buat pasukan bagi saingan Piala Malaysia namun saya jangkakan persaingan semakin mencabar bagi peringkat seterusnya.”
“Sebelum kejohanan bermula, sememangnya tiada tekanan kepada kami kerana sasaran awal ialah untuk kekal di Liga Super dan kami berjaya melakukannya apabila berada di kedudukan keenam terbaik.”
“Kami berharap dapat lakukan sesuatu yang bermakna di suku akhir namun masih ada lagi satu perlawanan untuk dihabiskan iaitu bertemu Sri Pahang, pada aksi terakhir perlawanan di peringkat kumpulan,” katanya.
KL City yang mendahului carta Kumpulan A dengan pungutan 11 mata, berjaya mengatasi Penang hasil jaringan tunggal Romel Morales pada minit ke-38 menerusi sepakan penalti.
38' GOL | Romel Morales menjaringkan sepakan penalti Kuala Lumpur City FC!@KLCityFootball 1 – 0 @fa_penang#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/pbkPqzxUeE
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 7, 2021
Sebagai rekod, KL City yang sebelum ini dikenali Kuala Lumpur pernah muncul juara tiga kali berturut-turut Piala Malaysia pada tahun 1987,1988 dan 1989.
Turut mengiringi KL City ke suku akhir ialah Sarawak United yang mengejutkan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Darul Makmur, hasil jaringan lewat pemain gantian, Abdul Rahim Abdul Razak.
Bagaimanapun, pengendalinya, E. Elavarasan, merendah diri dengan kejayaan itu sambil menyifatkan tuah sebenarnya berpihak kepada Sarawak United untuk membawa pulang tiga mata berharga.
“ Dari awal lagi Sri Pahang bermain lebih baik malah mereka berjaya mengejutkan kami dengan gol awal tetapi mujur kami dapat menyamakan kedudukan melalui Sandro.
“ Gol penyamaan itu memberikan motivasi kepada pemain biarpun secara keseluruhan permainan dikuasai sepenuhnya oleh Sri Pahang.
“ Mungkin apabila selepas kedudukan 1-1 dan kita juga dalam situasi tidak mahu kalah kerana situasi itu akan berikan kelebihan kepada tuan rumah jika menang, maka kita lebih banyak bertahan.
“ Saya boleh katakan kami bernasib baik kerana dapat menjaringkan gol selepas 40 minit bertahan di separuh kedua dan melalui satu sahaja serangan balas, kami mendapatkan satu kemenangan penting, ” katanya.
Kemaraan kedua-dua pasukan ini menandakan tersingkirnya Sri Pahang dan Penang dari saingan Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan sudah tidak mampu lagi memintas pada hari terakhir perlawanan peringkat kumpulan, Rabu ini.
Jika KL City berjaya mempertahankan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan A selepas aksi keenam peringkat kumpulan, mereka dijadualkan akan bertemu Selangor yang sudah mengesahkan slot menerusi naib juara Kumpulan B manakala Sarawak United bertemu juara Kumpulan B, Terengganu di suku akhir.