Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini telah mengumumkan senarai 26 pemain yang dipilih oleh Ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, Bojan Hodak untuk ke sesi latihan dan pemilihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Selasa depan, 25 September 2018.
Barisan pemain tersebut turut akan dibawa ke Qatar untuk menjalani latihan sebagai persiapan dan persediaan awal bagi menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2018 di Indonesia, 18 Oktober hingga 4 November depan.
Mereka akan berlepas ke Doha, Qatar pada 3 Oktober untuk perlawanan persahabatan di sana selama tiga hari sebelum pulang ke tanah air pada 6 Oktober 2018.
Apa yang menariknya dalam senarai 26 pemain ini adalah, ketika hampir majoritinya berasal dari sistem Piala Presiden dan Piala Belia, terdapat juga seorang pemain – Al Imran Abdul Halim – yang lahir dari sistem Liga IPT.
Manakala 12 pemain di senarai bawah berada dalam senarai menunggu untuk menjalani latihan dan menggantikan mana-mana pemain daripada senarai 26 pemain di atas sekiranya mengalami kecederaan.
Sebelum ini, skuad bawah 19 tahun negara berlepas ke Oman mengharungi 3 aksi persahabatan berdepan kelab divisyen satu Liga Oman bagi menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan dari negara Arab yang mengamalkan gaya permainan pantas.
Pada tiga aksi itu, pasukan negara tumbang di tangan Al Suwaiq FC dengan 0-4 sebelum bangkit dalam aksi kedua apabila menewaskan Oman Club 2-0. Bagaimanapun, rentak itu gagal dipertahankan pada aksi terakhir apabila tumpas 0-1 kepada Muscat Club.
Dalam saingan AFC B-19, Malaysia bakal menentang pasukan pilihan, Arab Saudi yang diundi bersama dalam Kumpulan D selain Tajikistan serta China.
Menurut rekod, pasukan negara bawah 19 tahun negara pernah mencatat keputusan baik dalam kejohanan AFC B-19 dengan tiga kali muncul naib juara kejohanan iaitu pada 1959, 1960 dan 1968.