Kuala Lumpur City (KL City) gagal manfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dalam saingan Piala AFC 2022 peringkat Kumpulan H baru-baru ini apabila sekadar terikat seri tanpa jaringan ketika menentang PSM Makassar dari Indonesia.
Tambah meresahkan para penyokong, posisi serangan KL City dilihat agak tumpul untuk merobek gawang gol pelawat biarpun mempunyai beberapa peluang keemasan.
Hard luck. We keep going though! #KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur #AFCCup2022 pic.twitter.com/AZVHEbSpJL
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) June 24, 2022
Kekecewaan tersebut turut dirasai oleh Bojan Hodak selaku pengendali KL City apabila pasukan kendaliannya gagal untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan tersebut.
Walaupun agak kecewa dengan keputusan perlawanan, nyata Bojan masih gembira dengan mutu permainan yang dipersembahkan oleh para pemain ketika menentang pasukan pelawat tersebut.
Bojan juga memuji barisan pertahanan skuadnya yang disifatkan sangat berdisiplin untuk mengelak daripada dibolosi lawan sepanjang permainan berlangsung.
The fans were electric last night. Buzzing ⚡️WHAT A TIFO 🔥
Thank you for your support, and let’s rock the stadium again this Thursday! #KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur #AFCCup2022 pic.twitter.com/1L2No4lI1B
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) June 25, 2022
Pengendali berusia 52 tahun itu juga menganggap keputusan perlawanan tersebut sebagai adil dan peluang untuk ketiga-tiga pasukan dalam kumpulan itu terbuka luas untuk pergi ke pusingan seterusnya.
“Secara keseluruhan kami memiliki peluang untuk meraih kemenangan. Saya fikir kami sangat hampir dengan tiga mata, tapi anda juga perlu hormati mereka kerana mereka juga mempunyai beberapa peluang.
“Saya sentiasa akan kecewa apabila kami tidak menang, tapi kadang-kadang anda perlu lihat kepada realiti yang mana saya fikir kami beraksi dengan baik.
“Saya gembira dengan pertahanan hari ini yang mana mereka tidak melepaskan jaringan. Akhirnya kami bermain bagaimana cara kami beraksi ketika perlawanan akhir Piala Malaysia.
“Tetapi bahagian serangan, inilah masalah kami dan ia salah satu sebab mengapa kami menandatangani penyerang baharu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menerusi Berita Harian.
Dalam masa sama, Bernardo Tavares selaku pengendali PSM Makassar jelas sedikit kecewa mengenai perlawanan tersebut apabila tiada sebarang gol berjaya dihasilkan sepanjang 90 minit permainan berlangsung.
Terima kasih dukungan teman-teman di Malaysia. 👏🙌#EwakoPSM pic.twitter.com/sYMLrZYqkL
— PSM Makassar (@PSM_Makassar) June 25, 2022
“Kami ada peluang, mereka ada peluang dan kami boleh jaringkan gol, mereka juga boleh jaringkan. Saya fikir jika perlawanan itu menghasilkan jaringan, ia pasti lebih baik kerana peminat datang menyaksikan perlawanan untuk melihat jaringan,” katanya.