Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak ketua jurulatih skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19), Bojan Hodak yang bakal berakhir pada 31 Julai depan.
Difahamkan ia mempunyai kaitan dengan tindakan beliau mengkritik sistem pembangunan akar umbi bola sepak Malaysia selepas skuad bimbingannya tewas dalam saingan peringkat kumpulan pada Kejohanan Piala Sanix di Jepun bulan Mac lalu.
Bagaimanapun, Bojan Hodak menerima keputusan penamatan kontrak tersebut dengan hati terbuka dan sedang membuat persiapan untuk berhijrah ke tempat lain.
“Saya akui telah menerima makluman daripada FAM menerusi e-mel bahawa kontrak saya yang berakhir pada Julai depan tidak akan disambung. Saya menerima keputusan tersebut dengan terbuka dan mengucapkan selamat maju jaya dengan pasukan B-19,” katanya dalam Kosmo
Malah, peminat bola sepak tempatan kini tertanya-tanya siapakah yang bakal dilantik sebagai ketua jurulatih baharu skuad Malaysia B-19 menggantikan tempat Bojan Hodak memandangkan kejohanan AFF B-19 semakin dekat.
“Saya tidak pasti jurulatih mana yang akan dilantik sebagai pengendali baharu skuad B-19 tetapi siapa sahaja yang dipilih, dia memiliki barisan pemain yang bagus dan boleh dibentuk untuk melangkah lebih jauh,” katanya ketika dihubungi Kosmo.
Sepanjang melatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak telah membawa Malaysia muncul sebagai juara Piala AFF B-19 buat pertama kali dalam sejarah pada tahun lepas dan berjaya menempah tiket beraksi di pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Indonesia.
“Saya sangat bertuah apabila berpeluang untuk melatih pemain yang cukup berkualiti sehingga berjaya menjuarai kejuaraan AFF B-19 buat kali pertama tahun lalu. Ia adalah pengalaman yang menarik.
“Saya akan kembali ke Croatia untuk mengikuti kursus Lesen Pro Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA),” katanya.