Bojan Hodak Akui Yakob Sayuri Dan Rizky Eka Pemain Berbahaya Untuk PSM Makassar

Menjelang saingan Piala AFC yang bakal membuka tirai malam esok, Kuala Lumpur City (KL City) antara pasukan yang giat menjalani latihan sebagai persediaan untuk menentang wakil dari Indonesia, PSM Makassar.

Walaupun berkelebihan menerusi aksi di laman sendiri, KL City jelas tidak memandang remeh buat mana-mana kelab dalam Kumpulan H kerana ingin memfokuskan sepenuhnya untuk setiap perlawanan agar mereka mampu melangkah lebih jauh dalam kejohanan tersebut.

Menurut pengendali KL City iaitu Bojan Hodak, beliau menganggap Piala AFC ini mempunyai jurang yang agak berbeza berbanding saingan Liga Super kerana pasukan diwakili setiap negara adalah jauh lebih hebat dan berpengalaman untuk menghadapi tekanan.

Selain itu, Bojan juga tidak mahu para pemain mengalah dengan lebih awal dalam apa jua situasi serta kekal fokus dan bersemangat untuk membenam cabaran lawan meskipun rata-rata anak buahnya bakal pertama kali beraksi dalam saingan tersebut.

Bojan juga melihat PSM Makassar sebagai lawan mereka yang agak kuat untuk ditentang berdasarkan senarai pemain pasukan tersebut bukan calang-calang.

Jelas Bojan, pasukan dari Indonesia itu pastinya bakal menggunakan senjata rahsia mereka iaitu Muhammad Arfan, Yakob Sayuri dan Rizky Eka Pratama untuk memerangkap kelab dikendalikan beliau.

“Mereka mempunyai dua pemain import berbahaya dan dibantu pemain tempatan seperti Rizky dan Yakob. PSM Makassar pasukan yang bahaya jika diberi ruang dan boleh memusnahkan impian kami.

“Kami akan cuba menguasai bahagian tengah kerana Arfan adalah pemain penting mereka. Jika kami boleh menyekat dia, saya fikir ia memberi kelebihan kepada kami,” katanya menerusi Arena Metro.

Menurut jadual perlawanan, KL City bakal berdepan satu lagi lawan mereka dari Kumpulan H iaitu Tampines Rovers pada 30 Jun ini sebagai perhitungan terakhir mereka dalam saingan tersebut.

Dalam masa sama, Hodak juga turut bersuara agar para pemain kendaliannya kembali bangkit dari kekecewaan lalu sewaktu mereka tewas di tangan Terengganu.

Musim ini, KL City dilihat tidak begitu konsisten dalam perlawanan dihadapi meraka dan perkara tersebut pastinya menggusarkan hati para penyokong mengenai prestasi semasa pasukan.

Untuk itu, Bojan berharap agar para penyokong terus bersama-sama pasukan untuk memberi sokongan padu di stadium malam esok selepas beliau turut menyedari peminat pasukan lawan turut bakal hadir untuk mendukung kelab mereka.

“Anda tidak boleh terlalu memikirkan perlawanan lalu dan perlu fokus perlawanan seterusnya. Saya berasa pemain menanti Piala AFC ini, mereka mahu mencapai sesuatu dan akan fokus kepada perlawanan.

“Perlawanan berdepan TFC adalah sukar dan saya rasa ia membantu kami mempersiapkan pasukan untuk perlawanan esok,” katanya.

Sumber:
Harian Metro

Leave a Reply