Penyingkiran skuad bawah 19 tahun negara daripada kejohanan AFC B-19 di Indonesia selepas tewas 0-2 kepada China semalam telah mendedahkan kualiti sebenar pasukan muda negara di peringkat asia.
Hal ini diakui sendiri oleh pengendali skuad muda negara, Bojan Hodak yang berpendapat program pembangunan pemain muda negara perlu diperbaiki untuk melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti.
“Berdasarkan situasi ini, pemain kita begitu naif untuk beraksi di peringkat sebegini. Kita gagal menyudahkan peluang yang sukar didapati namun kita mudah memberikan gol kepada pihak lawan.
“Jadi, kita harus mengukuhkan lagi program pembangunan pemain muda. Saya tidak boleh memperbaiki masalah ini dalam tempoh dua minggu tetapi ia memerlukan masa bertahun-tahun.
“Kita perlu sentiasa didedahkan dengan latihan pada intensiti yang tinggi supaya kita bersedia menghadapi perlawanan di peringkat yang lebih tinggi,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Dalam perlawanan semalam, skuad bawah 19 negara gagal mengambil kesempatan ke atas China selepas Arab Saudi ‘membantu’ mereka dengan menewaskan Tajikistan dalam defisit 2 gol bagi membolehkan slot ke suku akhir menjadi milik Malaysia.
Walaupun tidak berjaya melangkah ke suku akhir, Bojan Hodak tetap memuji pencapaian skuad ini yang dilihat lebih baik daripada sebelumnya.
“Secara keseluruhan, generasi ini berjaya melakukan sesuatu dengan muncul juara Kejuaraan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 dan juga layak ke saingan AFC secara merit.
“Jadi, kita perlu meneruskan momentum ini kerana selepas kita layak pada edisi kali ini, kita sepatutnya terus layak pada edisi seterusnya. Jika kita dapat lakukannya, masa depan bola sepak negara tetap cerah,” katanya.
Kekalahan semalam menyaksikan skuad negara menghuni tangga tercorot Kumpulan D dengan satu mata, mengulangi nasib sama dengan skuad ‘adik’ yang turut menghuni tangga tercorot pada aksi Kejuaraan Bawah 16 tahun (B-16) AFC 2018, bulan lalu